Sunday, January 23, 2011

1 waktu, 10 ayat

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Kali ini saya terlambat 4 hari dalam menulis isi blog yang baru. Saya target mahu tulis seminggu, 1 artikel tetapi ada dateline yang perlu dikejar.

Semalam saya menonton drama bertajuk Iqra' di cerekarama tv3. Kalau dibaca pada sinopsisnya, cerita itu seperti cerita biasa-biasa sahaja tetapi saya tertarik untuk tunggu dan menonton sehingga habis apabila saya terbaca senarai nama pelakonnya iaitu Eman Manan dan pengarahnya Rashid Sibir kerana setakat ini hasil lakonan dan arahan mereka berdua tidak menghampakan.

Mungkin bagi mereka yang berada di dalam keluarga dan persekitaran 'orang yang beragama' tidak akan menyangka cerita yang dilakonkan itu diadaptasi daripada suasana yang sebenar. Begitulah perasaan saya apabila saya baru keluar daripada sekolah agama setelah belajar selama 5 tahun dan kemudian masuk ke alam universiti yang bercampur dengan pelajar pelbagai agama.

Pada mulanya saya tidak terfikir ada pelajar Melayu yang hanya akan solat lima waktu apabila mahu menghadapi peperiksaan, ada pelajar lelaki Muslim yang tidak solat pada hari Jumaat malahan ada juga yang tidak berpuasa ramadhan. Saya juga bertambah terkejut apabila dapat tahu ada pelajar yang curi-curi 'minum' apabila keluar bandar kerana melepaskan tekanan tetapi itulah hakikatnya dunia di luar sekolah agama. Bukan tiada pelajar sekolah agama yang jahat tetapi mereka masih lagi malu-malu untuk melakukan perangai buruk selagi mereka di premis sekolahlah. Benarlah iman tidak boleh diwarisi.

Di dalam drama Iqra' itu menunjukkan Arman (Eman Manan) seorang yang tahu membaca Al-Quran dan solat tetapi melupakannya selepas menjadi kaya-raya dan melakukan pelbagai lagi kemungkaran selepas itu. Arman dan isteri menjadi ibubapa 'cool' sehingga membenarkan anak mereka membawa pulang kawan berlainan jantina tidur satu bilik di rumah mereka dengan pengetahuan mereka sehingga anak sendiri mengandung pun mereka masih lagi 'cool'. Konon modenlah tu. Na'uzubillah.

Sebenarnya zaman sekarang sangat mudah mahu mendapat Al-Quran yang siap dengan kod tajwid serta terjemahannya sekali. Kalau sepuluh tahun dahulu penerbitnya amat terhad dan agak mahal juga harganya. Kalau tidak sempat baca banyak-banyak sekali, cuba amalkan cara mudah ini. Insya'Allah kita mampu menghabiskan senaskah Al-Quran dalam masa paling lambat pun setahun, paling cepat 10 bulan.

Bagaimana caranya? Saya mula mendapat ilham setelah mendengar pesanan Dato Dr Fadzilah Kamsah pada bulan ramadhan beberapa tahun yang lalu. Dia kata, pastikan 1 hari baca 10 ayat Al-Quran sebelum tidur. Cara ini saya olahkan kepada 1 waktu solat, 10 ayat. Dalam masa sebulan, insya'Allah kita boleh habiskan 3 juz.

Cuba cari Al-Quran yang terbahagi kepada 10 jilid, 1 jilid 3 juz. Lagi bagus jika ada terjemahan dan kod tanda tajwidnya sekali. Maka setiap kali membaca 10 ayat Al-Quran, kita akan dapat faham 10 maksud ayat dan dapat memperbaiki tajwid di dalam setiap 10 ayat.

Membaca 10 ayat ini tidak lama tetapi jika tidak sempat, himpunkan 50 ayat pada waktu maghrib dan isyak. Membaca Al-Quran dan memahami maksudnya sekali sangatlah menakjubkan kesannya dan banyak hikmahnya. Cubalah. Masih belum terlambat untuk kita memulakannya. Jika tidak tahu di mana mahu cari Al-Quran seperti yang saya nyatakan, cuba layari blog rakan saya ini, http://www.edariman.blogspot.com/. Ada pelbagai jenis, saiz dan harga mampu beli Al-Quran terjemahan yang dijualnya. Saya suka tagline blognya, 'jika iman mampu diedarkan....'

Sekian sahaja. Maafkan segala salah bahasa saya.

Wassalam.

No comments:

Post a Comment