Tuesday, January 15, 2013

Kucing sakit 2

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Apa khabar? Saya sihat alhamdulillah dan saya doakan para pembaca juga sihat sejahtera. Amin.

Entri kali ni saya nak kongsi cerita tentang kucing sakit lagi tetapi kucing ini sudah pun sihat. Alhamdulillah. Di bawah ini saya tunjukkan proses penyembuhan kucing yang saya namakan ia Cat. Kucing ini saya tak pasti apa punca penyakitnya sebab saya kutip dengan keadaannya yang sudah sedemikian rupa. Mungkin juga Cat adalah mangsa simbahan air panas oleh manusia yang jahil. Nak marah pada manusia itu pun tak guna juga. Apa yang penting, kita sebagai manusia yang berfikir perlu selamatkan haiwan yang teraniaya itu dahulu, rawati ia serta berdoa tanpa jemu. Mahu ambil tindakan pada manusia yang menzaliminya juga tiada gunanya kerana undang-undang negara ini tidak cukup mengerikan para penzalim haiwan.

Di bawah adalah proses penyembuhannya Cat.

1 Oktober, 2012 : Cat di klinik haiwan. Luka yang sama besar terdapat pada kedua belah badannya. Luka yang dipaparkan tu ada ulat berengga (maggot) yang sudah pun dibersihkan doktor. Kaki, ekor, telinga dan hidungnya pula dijangkiti sporo. Keadaannya sangat menyedihkan. Cat sangat kurus sehingga tak larat nak jalan.

9 Oktober, 2012 : Cat sudah dibawa balik ke rumah dan dikurung dalam sangkar. Lukanya perlu dicuci (dressing) dengan air suam, ditanggalkan selaput putih pada luka itu (jika ada) agar ubat luka (povidon) yang disapu terus bertindak balas dengan kawasan luka sehari sekali. Serbuk dalam kapsul Sporonox juga diberi dengan dos sebiji kapsul sehari kerana keadaannya yang teruk ketika itu. Saya dibantu oleh ibu saya yang baik hati. Kami sediakan bekas air suam, sarung tangan plastik (pakai-buang), kapas bulat, spatula plastik, povidon, beg plastik kecil (untuk isikan kapas kotor) dan surat khabar lama sebagai pelapik.

17 Oktober, 2012 : Luka Cat di kedua belah badannya beransur kecil dan kering walaupun berat badannya lambat naik. Alhamdulillah. Walaupun sakit teruk tetapi selera makan dan minumnya bagus cuma ia ada masalah cirit-birit. Mungkin akibat ia menjilat ubat luka yang bersifat racun itu. 

 24 Oktober, 2012 : Luka Cat semakin mengecut. Luka dalam gambar kelihatan basah kerana gambar ini diambil selepas 'dressing' luka dibuat. Kesan hitam pada lapik surat khabar di dalam gambar itu pula adalah multi vitamin yang menitis jatuh selepas saya suapkan ke mulutnya. Cat dan kebanyakan kucing di bawah jagaan saya memang tak sukakan rasa multi vitamin tu. Huhu. Multi vitamin tu perlu bagi menguatkan fungsi hati kucing-kucing sakit ni. Menurut kata doktor haiwan, daging luka yang sentiasa merah mempunyai harapan untuk lekas sembuh. Jika daging luka semakin hitam, sila rujuk semula kepada doktor kerana ia menunjukkan daging itu mati.

30 Oktober, 2012 : Luka-luka sporo banyak yang dah kering. Luka besar pada kedua belah badannya juga semakin kecil. Alhamdulillah. Bulu Cat juga dah tersusun rapi.

13 November, 2012 : Luka Cat dah hampir hilang dari pandangan. Tinggal tunggu proses tumbuh bulu sahaja. Ubat Sporonox masih lagi diteruskan dalam dos yang sama kerana jangkitan fungus itu masih ada lagi pada hidungnya yang menyebabkan saluran lubang bengkak dan sempit.

6 Januari, 2013 : Luka Cat dah pulih. Cat dah gemuk dan jelita ketika ini. Bulunya juga dah tumbuh gebu.

 6 Januari, 2013 : Hidung Cat masih belum pulih sepenuhnya tetapi ada penyusutan. Ia saya hantarkan ke klinik haiwan bagi proses pemandulan sebagai mengawal populasi kucing.

Hari ini, 16 Januari, 2013, Cat sudah saya lepaskan ke dunia luar selepas luka pembedahan mandulnya pulih. Alhamdulillah. Sesungguh Tuhan Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Kepada para pembaca sekelian, saya harap anda semua jangan putus asa untuk memelihara kucing-kucing yang sakit teruk atau lebih teruk daripada Cat. Yang penting sabar, berdoa dan dapatkan rawatan doktor haiwan yang betul-betul mengasihani haiwan, yang beretika dan mempunyai bekalan perubatan yang berkualiti agar proses penyembuhan haiwan itu berlaku dengan segera dan berkesan.

Harap perkongsian ini dapat membantu. Segala salah dan silap saya, harap dimaafkan. Saya bukanlah doktor haiwan, jadi ini hanyalah perkongsian daripada pengalaman sahaja, bukan rujukan dari segi pengambilan dos ubat-ubatan.

Sekian. Wassalam.