Sunday, January 23, 2011

1 waktu, 10 ayat

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Kali ini saya terlambat 4 hari dalam menulis isi blog yang baru. Saya target mahu tulis seminggu, 1 artikel tetapi ada dateline yang perlu dikejar.

Semalam saya menonton drama bertajuk Iqra' di cerekarama tv3. Kalau dibaca pada sinopsisnya, cerita itu seperti cerita biasa-biasa sahaja tetapi saya tertarik untuk tunggu dan menonton sehingga habis apabila saya terbaca senarai nama pelakonnya iaitu Eman Manan dan pengarahnya Rashid Sibir kerana setakat ini hasil lakonan dan arahan mereka berdua tidak menghampakan.

Mungkin bagi mereka yang berada di dalam keluarga dan persekitaran 'orang yang beragama' tidak akan menyangka cerita yang dilakonkan itu diadaptasi daripada suasana yang sebenar. Begitulah perasaan saya apabila saya baru keluar daripada sekolah agama setelah belajar selama 5 tahun dan kemudian masuk ke alam universiti yang bercampur dengan pelajar pelbagai agama.

Pada mulanya saya tidak terfikir ada pelajar Melayu yang hanya akan solat lima waktu apabila mahu menghadapi peperiksaan, ada pelajar lelaki Muslim yang tidak solat pada hari Jumaat malahan ada juga yang tidak berpuasa ramadhan. Saya juga bertambah terkejut apabila dapat tahu ada pelajar yang curi-curi 'minum' apabila keluar bandar kerana melepaskan tekanan tetapi itulah hakikatnya dunia di luar sekolah agama. Bukan tiada pelajar sekolah agama yang jahat tetapi mereka masih lagi malu-malu untuk melakukan perangai buruk selagi mereka di premis sekolahlah. Benarlah iman tidak boleh diwarisi.

Di dalam drama Iqra' itu menunjukkan Arman (Eman Manan) seorang yang tahu membaca Al-Quran dan solat tetapi melupakannya selepas menjadi kaya-raya dan melakukan pelbagai lagi kemungkaran selepas itu. Arman dan isteri menjadi ibubapa 'cool' sehingga membenarkan anak mereka membawa pulang kawan berlainan jantina tidur satu bilik di rumah mereka dengan pengetahuan mereka sehingga anak sendiri mengandung pun mereka masih lagi 'cool'. Konon modenlah tu. Na'uzubillah.

Sebenarnya zaman sekarang sangat mudah mahu mendapat Al-Quran yang siap dengan kod tajwid serta terjemahannya sekali. Kalau sepuluh tahun dahulu penerbitnya amat terhad dan agak mahal juga harganya. Kalau tidak sempat baca banyak-banyak sekali, cuba amalkan cara mudah ini. Insya'Allah kita mampu menghabiskan senaskah Al-Quran dalam masa paling lambat pun setahun, paling cepat 10 bulan.

Bagaimana caranya? Saya mula mendapat ilham setelah mendengar pesanan Dato Dr Fadzilah Kamsah pada bulan ramadhan beberapa tahun yang lalu. Dia kata, pastikan 1 hari baca 10 ayat Al-Quran sebelum tidur. Cara ini saya olahkan kepada 1 waktu solat, 10 ayat. Dalam masa sebulan, insya'Allah kita boleh habiskan 3 juz.

Cuba cari Al-Quran yang terbahagi kepada 10 jilid, 1 jilid 3 juz. Lagi bagus jika ada terjemahan dan kod tanda tajwidnya sekali. Maka setiap kali membaca 10 ayat Al-Quran, kita akan dapat faham 10 maksud ayat dan dapat memperbaiki tajwid di dalam setiap 10 ayat.

Membaca 10 ayat ini tidak lama tetapi jika tidak sempat, himpunkan 50 ayat pada waktu maghrib dan isyak. Membaca Al-Quran dan memahami maksudnya sekali sangatlah menakjubkan kesannya dan banyak hikmahnya. Cubalah. Masih belum terlambat untuk kita memulakannya. Jika tidak tahu di mana mahu cari Al-Quran seperti yang saya nyatakan, cuba layari blog rakan saya ini, http://www.edariman.blogspot.com/. Ada pelbagai jenis, saiz dan harga mampu beli Al-Quran terjemahan yang dijualnya. Saya suka tagline blognya, 'jika iman mampu diedarkan....'

Sekian sahaja. Maafkan segala salah bahasa saya.

Wassalam.

Tuesday, January 11, 2011

Si Kembar 7

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,

Alhamdulillah, bertemu lagi kita di laman blog 'Rona-roni E-Man Dhani'. Saya doakan agar para pembaca blog ini sihat walafiat dan dipermudahkan segala urusan di dunia akhirat. Aminnn.

Hari ni saya mahu bercerita tentang kembar 7. Sebelum tu, ingat lagi tak kisah John & Kate plus 8? Alaa... Pasangan suami isteri di Amerika Syarikat (sekarang sudah berpisah) yang dikurniakan kelahiran sulong kembar 2 dan kelahiran kedua kembar 6. Mereka berdua pun sudah menjadi selebriti semenjak mempunyai anak 8 itu.

Saya juga ada angan-angan mahu anak kembar 6 juga. Hahaha... tingginya angan-angan saya. Orang kata beranak kembar ini pun bergantung kepada genetik keturunan juga. Hanya Tuhan saja tahu.

Mahu dijadikan cerita, doa saya dimakbulkan Tuhan dan saya dikurniakan kembar 7. Kalah pasangan John dan Kate itu. Pertama kerana kembar ini berjumlah 7. Kedua kerana kembar ini berbulu dan berwarna-warni. Hahaha... tentulah ia bukan anak manusia. Ia adalah anak kepada pasangan 'Kembang' dan saya pun tidak tahu siapa nama kucing jantan yang bertuah itu. :)


Gambar di atas ini diambil 7 hari selepas Kembang beranak. Doktor veterina yang biasa saya kunjungi juga terperanjat mendengar berita ini. Anak-anak kucing ini sangatlah kecil daripada saiz anak kucing lain yang baru lahir. Mereka saya tempatkan di dalam sangkar yang sederhana besar bagi mengelakkan Kembang melakukan aktiviti 'pindah-memindah anak' yang amat digemari oleh ibu-ibu kucing. Konon-konon seperti manusia mahu mencolek anaknya pula. Tetapi pada pendapat saya, inilah cara terbaik bagi mengelakkan anak-anak kucing itu dimakan oleh kucing jantan dan anak-anak kucing lebih bersih dan sihat.

Bagi ibu kucing yang baru beranak, doktor veterina menasihati saya agar memberi Kembang minum susu khas untuk anak kucing kerana susu ini diperkayakan dengan protein. Doktor juga membekalkan saya satu botol kecil kalsium cecair untuk diminum selama sebulan buat Kembang. Protein bagus untuk pertumbuhan dan kalsium baik untuk kekuatan tulang Kembang.

Tiga minggu selepas itu, anak-anak kucing cepat membesar. Sangkar yang sederhana besar itu semakin sesak walaupun anak-anak kucing masih belum kuat berdiri. Mata pun baru buka minggu sebelumnya. (Mata anak kucing buka 2 minggu selepas lahir).

Saya bercadang mahu memindahkan Kembang dan 7 kembarnya ke dalam sangkar yang lebih besar. Saya telah mengupah pakcik saya yang pandai bertukang untuk membina sebuah 'banglo kucing'. Ianya setinggi 4 tingkat tetapi kami baru bukakan 2 tingkat pertama untuk Kembang dan anak-anaknya.

Malangnya, sehari sebelum dipindahkan ke 'banglo kucing', seekor daripada anak-anak Kembang mati dihimpap oleh ibunya. Innalillah. Kesian Kembang. Tinggal 6 ekor anaknya. Saya pun segera memindahkan mereka keesokan harinya. Sekarang anak-anak kucing itu sudah berusia lebih kurang sebulan 7 hari dan sudah pun diberikan nama. Nama-nama kampung dengan sebutan 1 suku kata sahaja iaitu Ron, Bob, Black, White, Grey dan Oren (2 suku kata).

                                     
Ini antara gambar anak-anak Kembang yang kembar 6 itu. Agak sukar mahu mengambil gambar anak-anak kucing yang aktif bermain ini. Penempatan ini hanyalah buat sementara waktu kerana saya tidak bercadang mahu mengurung kucing-kucing ini selama-lamanya. Ia hanya sementara menunggu anak-anak kucing membesar dengan sihat. Lagi pun berdosa mengurung haiwan tanpa sebab, kata pakar agama. Namun saya perlu memastikan ia besar, selesa dan bersih.

Sekian sahaja entri saya buat kali ini. Semoga mendapat manfaat dan ilham dalam memelihara kucing di masa akan datang. Semua kucing adalah cantik dan comel jika dijaga dengan bersih dan sihat. Hihihi.

Wednesday, January 5, 2011

Ada 'jin'

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Apa khabar? Mestilah sihat, bukan? Kalau tak sihat, mesti tak berdaya badan mahu melayan internet dan membaca blog. Hihi. Tapi saya ada beberapa orang kawan yang dalam pantang pun masih layan main Farmville. Ibu zaman siberlah katakan.

Hmm... kalau ikut pada tajuk hari ini, 'Ada jin'. Macam tajuk cerita seram terbitan David Teo pula. Maklumlah, tv dan filem kita sejak akhir-akhir ini mengalami kebanjiran cerita yang berunsur hantu dan tahyul. 

Jeng-jeng. Macam suspen sahaja. Inilah yang saya mahu ceritakan sedikit. Kejadian 'ada jin' ini berlaku di sebuah tanah yang kami panggil kebun. Keluasannya kalau mahu dikirakan lebih daripada seekor kangkang kera. Mula-mula apabila mahu berkebun, perlulah dipastikan tanahnya bersih daripada pokok-pokok besar agar mudah bercucuk tanah nanti.



Kami mengambil masa lebih kurang 3-4 jam setiap kali berkebun dan waktunya bermula jam 7.30pagi bergantung pada cuti yang dimohon atau cuti hujung minggu. Antara pokok yang ditanam ialah nenas, ubi kayu, durian nan sebatang dan macam-macam lagi. Yang kelakarnya, sepupu saya siap tanam asparagus dan brocolli. Ketawa besar kami sebab kedua-dua sayur ini hanya tumbuh di kawasan tanah tinggi yang bersuhu dingin. Bagi tidak menghampakan semangat beliau, saya berpesan agar ditimbunkan tanah yang tinggi sebelum beliau menanam asparagus dan brocolli itu kemudian menyuruhnya membeli aircond untuk diletakkan bersebelahan dengan tanaman. Hahaha.

Selepas selesai berkebun, kami pun pulang dengan ketiak yang basah dan bau yang masam. Sekali pandang macam buruh kontrak. Dua kali pandang..., selalunya orang tidak akan memandang kami dua kali lagi selepas itu sebab kami bukanlah selebriti pun. :)

Maka dalam perjalanan pulang, abang saya bersuara serius. "Tadi abang ada nampak jin di kebun."

"Jin?" jawab saya dan ibu saya serentak. Suspen juga kerana tanah kebun itu sunyi dan dikelilingi oleh pokok-pokok kelapa sawit.

"Betul, jin besar!" abang saya menyambung lagi.

"Hish! Cakap betul-betul sikit," ibu saya menyoal lagi. Suara seperti takut pun ada, tak puas hati pun ada.

"Jin tu warna kuning. Nama pendeknya, jin. Nama panjangnya, 'jin'tolak. Hahahaha," jawab abang saya sambil ketawa bangga.

"Gedebush!" Ibu saya menepuk bahunya. "Buat orang suspen sahaja!"

"Adoi! Sakitlah! Betullah saya cakap tadi. Bukankah ada jentolak sedang tolak tanah jiran di depan kebun kita pagi tadi."

Kami pun sama-sama tertawa dengan lawak sarkes abang saya. Penat-penat pun beliau ada ilham untuk membuat lawak.

Habis cerita. Hihi. Insya Allah saya sambung di lain hari. Kena juga menjengah novel yang sedang dibuat agar segera siap.

Tuesday, January 4, 2011

Nombor dua

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Pertama kali saya menulis blog sendiri. Saya memilih perkataan Rona-roni E-Man Dhani sebab saya sangat minat dengan drama Rona-roni Makaroni lakonan Bront Palare dan Syarifah Amani. Bab memasak makaroni goreng pula, saya lebih memilih ianya dimasak dengan gaya Malaysia iaitu pedas ala-ala membuat mi goreng tetapi mi kuning digantikan dengan makaroni. Hmm..., lazat.

Baiklah, nombor dua yang dimaksudkan dengan tajuk kali ini adalah novel pertama saya, Spanar dan Spatula yang akhirnya tersenarai dalam carta top 5 novel dewasa di laman web http://www.pts.com/ bagi jualan 16 Disember - 31 Disember, 2010. Bagi jualan 1 Januari, 2010 - 31 Disember, 2010 pula, ianya mendapat tempat ke 47 dalam senarai top 50 di bawah Judul Kreatif Remaja. Keputusannya tersenarai di dalam laman web http://www.universitipts.com/ . Saya amat bersyukur kerana novel ini baru sahaja diterbitkan pada 13 Oktober, 2010. Syukur alhamdulillah.



Jutaan terima kasih kepada para pembaca, Puan Ainon Mohd (chairman PTS), tim PTS One serta semua warga PTS. Kepada ahli keluarga juga, terima kasih pucuk pegaga (daun keladi tak boleh makan) yang tidak putus-putus berdoa dan memberi dorongan kepada saya. Haha, macam ucapan penerima anugerah pula. Cuma ianya hanya diucapkan tanpa perlu memakai baju 'bling-bling'. 

Oh, hampir terlupa. Bagi yang mahu mendapatkan ulasan mengenai novel saya ini, anda bolehlah melawat blog 'My Kingdom of Books' di alamat ini http://www.blogger.com/post-create.g?blogID=2522662164058113754 . Terima kasih pucuk pegaga juga buat Cikpuan Welma La'anda.

Saya akan terus berkarya lagi untuk buku-buku yang seterusnya. Insya'Allah novel selepas ini bertajuk Fatimah Fatty, sedang dalam proses editing menurut kata cikpuan editor. Manakala buku non-fiksyen pula adalah berkenaan dengan fotografi. Tajuknya adalah 'DSLR itu Mudah' yang ditulis dengan kerjasama jurufoto bernama Tuan Sujana Mohd Rejab. Terima kasih diucapkan kepada beliau di atas sumbangan foto-foto yang terlibat. Insya'Allah akan masuk ke kilang cetak awal tahun ini.

Baiklah. Sampai di sini sahaja. Jumpa di blog yang akan datang.