Sunday, March 18, 2012

Oren yang terdengkot-dengkot

Assalamualikum dan selamat sejahtera.

Hari ini saya mahu menulis tentang salah seekor daripada kucing-kucing saya yang diberi nama Oren. Tadi saya bawa ia ke klinik haiwan kerana sudah 3-4 hari ia berjalan terdengkot-dengkot. Kasihan saya melihat Oren. Terasa berdosa pun ada kerana menangguhkan tempoh penghantaran ke klinik itu. Huuu.... Maafkan saya, Oren.

Inilah gambar Oren ketika ia berusia 6 bulan, sekarang sudah 1 1/2 tahun

Kenapa saya tangguhkan bawa ke klinik haiwan? Pertama, kerana berfikiran bahawa sakit kakinya itu boleh pulih dengan sendiri selepas 1-2 hari kemudian. Hmmm, berdasarkan pengalaman saya dengan beberapa ekor kucing yang lain, memang kadang-kala mereka jalan terdengkot-dengkot selepas bergaduh kemudian pulih semula keesokan harinya tetapi tidak pula bagi si Oren ini.

Kedua, kerana hari Sabtu klinik buka separuh hari dan ahad tidak buka pula. Huuuu.... Maafkan saya lagi sekali, Oren. Kakinya semakin membengkak tetapi apabila saya cuba mencari mana-mana kesan luka atau lubang yang menyebabkan bengkak itu memang tiada. Selera makannya memang okey cuma ia makan sambil berbaring.

Tadi sewaktu doktor haiwan memeriksa kakinya, kelihatan kaki yang terlibat itu sedikit basah. Rupa-rupanya, bengkak itu sudah pecah dan mengeluarkan nanahnya. Ada dua lubang sebesar kepala jarum peniti apabila dilihat. Oh, kasihan.

Doktor haiwan itu berpesan, lain kali apabila kucing peliharaan kita kelihatan berjalan terdengkot-dengkot, perkara yang perlu kita perhatikan adalah :


  • lihat cara kucing itu berdengkot, adakah kaki yang sakit itu masih boleh jejak pada lantai atau pun tergantung-gantung sahaja kerana apabila ia kelihatan tergantung sahaja, kemungkinan besar kaki itu patah, jika tidak, mungkin ia terseliuh, terluka atau tercucuk duri pokok
  • cuba cari luka atau lubang pada kaki yang terlibat. Kadang-kala, lubangnya amat kecil tetapi ia masih boleh membengkak kerana berlaku jangkitan kuman
  • jangan tunggu sampai ia membengkak dengan besar kerana jika ia dibawa awal kepada doktor haiwan, memadai ia dirawat dengan memberi makan ubat antibiotik dan satu 'injection' bagi mengelakkan kaki itu terus membengkak, kos perubatan pun boleh dijimatkan tetapi...
  • jika terjadi seperti kes kucing Oren saya di atas, doktor meminta Oren ditinggalkan di klinik agar dapat beliau cuci dan rawat lebihan nanah dan darah kotor yang berbaki pada kaki yang bengkak itu. Menurut beliau lagi, sedikit torehan kecil akan dibuat pada kaki tersebut bagi tujuan rawatan dan cucian (istilah yang biasa mereka gunakan bagi mencuci luka adalah 'dressing'). Lusa nanti bolehlah saya bawa Oren pulang. Semoga Oren lekas sembuh. Amin. :)
Begitulah cerita tentang kucing saya yang ada sebanyak lebih kurang 20 ekor. Sebenarnya hanya ada 7 ekor sahaja kucing rasmi di rumah kami. Yang lain adalah kucing-kucing yang tidak bertuan dan suka melepak di hadapan dan belakang rumah kami sambil berdoa agar diberikan makanan setiap pagi dan petang oleh 'tuan angkatnya' ini. Hihihi. Tiada seekor pun yang kami beli dan sudah pun kami mandulkan agar dapat menjaga populasi mereka. Cuma seekor sahaja yang kami gagal mandulkan kerana tersangatlah liarnya yang kami berikan ia nama Liar. Huhuhu. Sekarang beranak lagi 2 ekor. Nanti saya ceritakan pula kisah uniknya.

Sekian. Sehingga bertemu di lain waktu.

Saturday, March 3, 2012

Kerjaya Unik - Doktor Sakit Mental

Assalamualaikum & selamat sejahtera. Didoakan agar anda semua sentiasa dirahmati Tuhan dan sihat sejahtera. J

Kali ini, saya mahu kongsikan bersama para pembaca mengenai kerjaya rakan saya yang saya anggap unik iaitu Doktor Psikiatari atau Doktor Sakit Mental. Mengapa saya anggap unik? Hmm... sebelum saya menjawab soalan itu, saya mahu bertanya kepada anda semua. Berapa ramai orang yang berani mendekati dan membantu orang yang sakit jiwa di luar sana? Sila angkat tangan macam Usop Wilcha! Hihihi. Bergurau sahaja. Saya juga tidak berani kerana tiada kepakaran. Kebanyakkan daripada mereka dibuang keluarga, dibiarkan merayap seorang diri dengan keadaan yang tidak terurus dan ada juga yang berani bertindak ganas apabila diberi bantuan.Tahniah saya ucapkan kepada semua para doktor psikiatari yang berkhidmat di luar sana. Anda semua sangat berani. Semoga Tuhan membalas jasa murni anda, wahai doktor psikiatari.

gambar dari healthandphysicaleducationteacher.com

Menurut kajian yang saya baca di dalam sebuah artikel, penyakit mental akan menjadi penyakit nombor dua terbanyak dihidapi oleh manusia menjelang tahun 2020 nanti. Wah! Adakah ini bermakna akan ada ramai pesakit mental yang berkeliaran di merata-rata tempat? Tidak semestinya... kerana menurut rakan saya itu, sakit mental terdiri daripada pelbagai kategori dan peringkat. Antara perkara yang termasuk di dalam kategori sakit mental adalah seperti berikut :
  • ketagihan - arak, dadah, video lucah dll
  • kecewa bercinta
  • berfikiran negatif - dengki, iri hati, menfitnah dll
  • ponteng sekolah / kerja
  • suka menyeksa haiwan 
  • murung, stress
  • pembuli dan dibuli
  • pendera dan didera
  • keinginan membunuh diri
  • tidak mempunyai pegangan agama
  • masalah rumah tangga
Wah! Dahsyat bukan apabila berfikiran negatif dan suka ponteng sekolah juga termasuk di dalam kategori sakit mental. Rakan saya itu menasihatkan, dapatkanlah rawatan dengan segera jika anda mempunyai sebarang tanda-tanda seperti di atas sebelum ianya menjadi tenat di dalam diri anda. Mendekatkan diri dengan Tuhan juga adalah salah satu cara bagi mengelakkan diri daripada penyakit mental kerana biasanya pesakit mental mudah dipengaruhi oleh bisikan syaitan. 

Menurut pakar pemakanan pula, gejala stress boleh menyebabkan lebih banyak hormon kortisol terhasil di dalam tubuh kita dan menyebabkan meningkatnya nafsu makan. Haaa... tu dia... kata orang utara. Sudahlah sakit mental, berat badan pula semakin bertambah. Sungguh tidak berbaloi.

Akhir kalam, dekatkan diri dengan Tuhan, berfikiran positif, berkawan dengan orang-orang yang positif dan penuhkan hidup anda dengan aktiviti yang positif. Sekian.