Saturday, March 30, 2013

Memelihara anak kucing yatim piatu

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Sejak akhir-akhir ni saya sering terlihat status FB yang memaparkan anak-anak kucing (biasanya yang masih menyusu) yang dijumpai dibuang bersama/tanpa ibu kucing tersebut. Perkara ini tak sepatutnya berlaku jika kita kawal populasi haiwan tersebut dengan memandulkan mereka di klinik haiwan kerajaan atau swasta. Membuang anak-anak kucing itu tidak menyelesaikan masalah dan adalah satu tindakan tidak berperikemanusiaan.

Sebulan yang lalu juga, ada orang buang 3 ekor anak kucing di bawah pokok dekat rumah saya ketika hujan. Berikut adalah tindakan yang perlu diambil ketika menjumpai anak kucing yatim piatu. Anda boleh tonton video di youtube ini atau baca ringkasan yang saya tulis di bawah.



Pertama : Tunggu atau lihat di sekitar bagi memastikan ibu kucing itu ada bersama anak-anak itu. Selamatkan ia bersama ibunya.

Kedua : Jika sudah pasti ibu kucing tiada, selamatkan anak-anak kucing itu. Jangan panik. Pergi ke klinik haiwan berdekatan untuk dapatkan bantuan.

Ketiga : Biasanya doktor haiwan akan periksa gigi anak kucing itu untuk memastikan usianya. Jika anak kucing sudah buka mata & sudah tumbuh gigi halus, itu bermakna ia sudah berusia 1 bulan. Doktor haiwan akan berikan anak kucing ubat cacing berupa cecair. Lebih baik kita beli je ubat cacing sebagai bekalan sebab anak kucing mudah kecacingan. Berikan mengikut sukatan seperti yang dinyatakan pada botol ubat cacing tersebut.

Ini 3 anak kucing yang saya jumpai itu. Menurut pemeriksaan doktor haiwan, ia sudah berusia sebulan ketika dijumpai pada 28 Febuari, 2013.

Kalau anda ada ibu kucing yang masih menyusukan anak sekitar usia tersebut, bolehlah jadikan ibu kucing tersebut sebagai ibu susuan. Leset-lesetkan badan anak kucing tersebut pada ibu kucing tumpangan itu supaya melekat baunya pada anak kucing itu, barulah dihalakan anak kucing itu pada ibu kucing untuk disusukan, jika tidak, khuatir ibu kucing makan pula anak kucing tumpang itu kerana bau lain.

Seperti kes saya, saya memang tiada ibu kucing untuk dijadikan ibu tumpang, maka doktor haiwan mengajar saya cara-cara memelihara anak kucing ini.

Cara-cara memelihara anak kucing yatim piatu (tanpa bantuan ibu kucing tumpangan) :


1. Masukkan anak-anak kucing itu dalam sangkar seperti dalam gambar atas.
2. Letak sangkar di tempat yang tak panas & tak sejuk.
3. Lapikkan dengan akhbar lama & baju lama bagi membuat anak kucing kurang kesejukan. Pastikan kain lapik itu sentiasa kering dan bersih. Lebih elok kita ada ekstra lapik kain (ada ekstra dalam 5-6 helai) bagi menggantikan yang kotor dan basah itu kerana anak kucing kuat kencing. Bagi jimat, saya akan cuci kain lapik itu setiap hari. JANGAN guna sabun terlalu banyak ketika mencuci kain lapik anak kucing itu kerana bau atau kesan cucian yang terlalu kuat penggunaan sabun itu boleh membahayakan anak kucing.
4. Bagi mengelakkan anak kucing kesejukkan, gunakan bekas air seperti di bawah untuk diisikan air suam (jangan letak air didih dalamnya, nanti anak kucing melecet atau mati kepanasan) & dilapik baju lama atasnya supaya ia lebih selesa. Bekas ini dapat tahan panas air selama 3 jam.
Saiz sebesar kertas A4, dijual di farmasi lingkungan rm12
5. Beli botol susu khas serta susu tepung khas untuk anak kucing (yang direkomen oleh doktor haiwan). JANGAN GUNA SUSU LEMBU. Anak kucing boleh cirit-birit dan mati. Minta doktor haiwan ajarkan sukatan yang sesuai untuk bancuhan. Sentiasa guna air suam untuk bancuh susu kucing. Tebuk puting botol susu guna paku yang tak berkarat dan dipanaskan sebelumnya. Kalau juga gunting, pastikan lubang tak terlalu besar kerana anak kucing juga boleh mati tersedak susu.

6. Bancuhan jangan terlalu panas, jangan terlalu sejuk, jangan terlalu pekat, jangan terlalu cair. Minta doktor haiwan ajarkan cara bancuhannya. Susukan anak kucing dengan cara di bawah. Ketika usia kurang dari 4 minggu, anak kucing perlu menyusu 6 kali sehari. Saya mula berikan susu selepas solat subuh iaitu 6.15 pagi, 10 pagi, 3 petang, 7 petang, 9 malam, 12 tengah malam. Bancuhkan 1/2 botol sahaja, kalau ada baki simpan dalam peti sejuk supaya tak basi. Bila nak diberikan semula, masukkan botol dalam air suam agar ia tidak sejuk. Jangan simpan lebih daripada 2 kali.
Ini Memey. Jika dilihat dari dekat, giginya sudah tumbuh sikit. Berikan susu dalam posisi ini. JANGAN BARINGKAN, nanti susu masuk peparu, boleh mati.

7. Apabila anak kucing dah tumbuh gigi kecil, kita dah boleh ajarkan ia makan sikit-sikit tapi jangan terus hentikan susuannya. Biskut anak kucing di bawah ini adalah sesuai bagi anak kucing dari usia 1 hingga 4 bulan. Ia direkomen oleh doktor haiwan dan video di atas kerana saiznya yang sangat kecil & khasiat yang sesuai. Beli yang 400g atau 2kg dulu pun ok. Walaupun ianya mahal sedikit (RM70 untuk 2kg) tapi ia sangat membantu tumbesaran kerana anak kucing usia 1-2 BULAN cepat lapar. Bagi sikit-sikit dulu (dalam 1 sudu kecil dahulu) dalam piring kecil.

Awey, dah umur 2 bulan

Mang, umur 2 bulan

Memey, 2 bulan. Sentiasa sediakan air bersih untuk kucing minum.

Gigi Memey dah besar pada usia 2 bulan.
8. Secara beransur, anak-anak kucing dah mula kurang minum susu. Usia 5 minggu, 5 kali sehari minum susu. Dah masuk 8 minggu, mereka lebih minat makan biskut kitten berbanding minum susu tapi jangan putuskan susu terus. Ada masa ia teringin nak susu. 

9. HATI-HATI ketika melepaskan anak kucing ini dari sangkar untuk bermain kerana ketika usia ini, ia suka kejar kaki orang atau masuk dalam enjin kereta.

10. Pada usia 5 MINGGU, anak kucing sudah boleh diajar menggunakan pasir tandas kucing. Selalu pantau najis anak kucing kerana anak kucing mudah terkena cirit-birit.

11. Lap mata, punggung, cuping telinga, bulu anak kucing dengan tuala basah setiap pagi dan petang kerana pada usia ini, mereka masih kurang pandai membersihkan diri sendiri.

12. Bila dah usia 6 BULAN nanti, bolehlah ia dimandulkan bagi mengawal populasi kucing tersebut.

Saya bersyukur kerana saya 'dibantu' oleh seekor anak kucing yang saya namakan 'Kecik' (jantan, usia 6 bulan), yang datang ke rumah saya sebulan sebelum anak-anak kucing itu saya pelihara. Kecik jadi kitten sitter kepada anak-anak kucing tersebut. Ia rajin 'mandikan' anak-anak kucing itu, ajar mereka bermain dan tengok-tengokkan mereka.
Kecik, abang angkat yang rajin :)

Sekian perkongsian saya untuk kali ini. Semoga usaha memelihara anak-anak kucing yatim piatu ini dipermudahkan dan semoga Mang, Awey dan Memey membesar dengan sihat. Aaminnn.

Di bawah adalah gambar terkini Memey yang dah umur 6 bulan & sudah pun selamat dimandulkan. Awey hilang diambil orang. Semoga orang itu memelihara Awey dengan baik. Mang pula diambil oleh ibu saudara saya dan diberitahu ia telah membesar dengan sihat dan cergas. Alhamdulillah.





Saturday, March 23, 2013

Soal Jawab Tentang Sporo Kucing

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Banyak soalan yang saya terima daripada artikel saya yang bertajuk 'Kucing Sporo'. Jadi, suka saya ringkaskan soal jawab itu dalam bentuk Q&A bagi menjimatkan masa pembaca mendapat jawapan 'straight forward'. Saya bukan doktor haiwan tapi pengalaman yang saya kongsikan ini adalah hasil nasihat seorang doktor haiwan yang banyak membantu saya. Credit to Dr. Punitha D' Silva.

Q1 : Apakah itu sporo?
A1 : Sporo adalah ringkasan bagi nama Sporotrichosis iaitu sejenis penyakit kulit yang lambat sembuh akibat jangkitan kulat, bukan bakteria atau kuman.

Q2 : Bagaimana ia boleh menjangkiti haiwan?
A2 : Daripada tanah dan bergaduh dengan haiwan lain yang sudah ada sporo. Mungkin haiwan kita ada luka, jadi bila ia terdedah pada kulat tersebut, ia mudah terjangkit.

Q3 : Bolehkah ia menjangkiti manusia?
A3 : Boleh bagi manusia yang ada luka & tidak mencuci tangan selepas menguruskan luka haiwan yang dijangkiti itu.

Q4: Bagaimana ianya dikenali?
A4 : Apabila luka masih lagi basah selepas 3-4 hari dirawat dengan minyak gamat atau ubat luka khas haiwan atau antibiotik haiwan. Luka rupa seperti lekuk/ mangkuk/ kawah. Bawa jumpa doktor haiwan terlebih dahulu untuk mengesahkannya. Ada doktor yang ambil jalan mudah dengan suruh 'inject mati' sahaja haiwan itu. Jangan mudah pilih jalan itu. Ia boleh dirawat cuma ambil masa & perlu kesabaran yang tinggi.

Q5 : Di mana ia selalu menjangkiti?
A5 : Telinga, ekor, tapak kaki, hidung. Biasanya hidung, tandanya dengan bersin kuat sehingga berdarah & hidung tumbuh seperti jerawat, lubang hidung jadi sempit. Jika tidak dirawat, bengkak berupa jerawat itu boleh pecah & kesan luka itu akan menyebabkan batang hidungnya berlubang.

Q6 : Bagaimana cara merawatnya?
A6 : Pertama - Pastikan ia adalah penyakit sporo melalui pemeriksaan doktor.
       Kedua   - Beli ubat cuci luka dipanggil povidon atau ubat cuci luka untuk haiwan melalui doktor.
       Ketiga   - Beli kapsul Sporanox di farmasi kerana klinik haiwan tidak menjualnya. Ia adalah ubat
       manusia, oleh itu dosnya perlu diberi mengikut berat haiwan yang sesuai.
       Keempat - Asingkan kucing sporo dalam sangkar berasingan, sangkar besi yang khas untuk haiwan,
       bukan sangkar kayu buatan sendiri bagi memudahkan sangkar itu dicuci setiap kali kucing
       buang najisnya. Lapik sangkar dengan surat khabar lama, sediakan sebekas air bersih &
       biskut kucing. Tak perlu guna pasir kucing sebab nanti melekat pasir pada luka tersebut.
       Pastikan sangkar sentiasa bersih dengan campuran satu penutup dettol dengan air yang
       dimasukkan dalam botol spray bunga. Pancit & lap kesan najis sehingga kering bagi
       mengelakkan gangguan lalat. Lalat boleh menyebabkan luka berulat pula.
       Kelima -  Pakai sarung tangan pakai buang, cuci luka dengan air suam menggunakan kapas bulat
       (cotton ball - beli di farmasi), kemudian sembur dengan povidon sehari sekali. Elakkan
       daripada kucing jilat povidon itu dengan memakaikan ia kolar khas kucing seperti gambar
        yang disertakan. Kapsul Sporonox diberi sehari sekali mengikut cadangan doktor haiwan.
        Bagi juga multi vitamin setiap hari bagi menguatkan fungsi hati haiwan & mempercepatkan
        proses penyembuhan. Berikut adalah antara bahan yang digunakan bagi mencuci luka
        haiwan dan povidon seperti dalam gambar A8.
Penyepit plastik untuk sepit  'Cotton Ball'
Sarung tangan plastik pakai buang (100 helai rm5 di Daiso)


Bebola kapas/ cotton ball (gambar Google)
Kolar kucing (gambar Google)
Letakkan pengikat seperti di atas (boleh juga guna kain perca tapi jangan tali rafia) supaya ia tidak mudah dibuka oleh kaki kucing sebab kucing tak suka pakai kolar kon ni
Q7 : Bagaimana nak beri makan ubat Sporanox?
A7 : Ini adalah Sporanox yang biasa saya gunakan. Ada juga rupa yang sama tapi jenama berlainan dan harga pun lebih murah daripada Sporanox. Saya pernah guna kedua-dua jenama ini tapi Sporanox lebih cepat berkesan. Buka sarung kapsul itu & tuangkan butiran Sporanox dalam sesudu besar makanan tin perisa tuna (soft food jenama apa-apa pun boleh). Kalau doktor haiwan kata, dos haiwan itu 1/2 kapsul, tuangkan separuh isi Sporanox dalam makanan. Baki disimpan untuk esok pula. Tin makanan lembut kucing dimasukkan dalam beg plastik kecil, ikat & disimpan dalam peti sejuk supaya tak cepat basi. Sporanox tak boleh larut dalam air.

Q8 : Boleh tak cuci luka haiwan guna dettol & iodin?
A8 : JANGAN! Ia 'tajam', boleh membunuh dan boleh memburukkan keadaan luka tersebut. Gunakan Povidon yang memang khas untuk cuci luka haiwan. Beli pada doktor haiwan dan masukkan dalam
botol spray kecil seperti di bawah. Botol ini boleh dibeli di Guardian. Sebenarnya botol toner cuci
muka. Jika luka sporo tu di bahagian mata atau berdekatan, tidak perlu dicuci dengan Povidon. Jika mahu dicuci dengan kapas yang dicelup dengan air suam juga memadai.


Q9 : Berapa lama nak bagi ubat Sporanox?
A9 : Bergantung pada tahap keseriusan luka tersebut tapi biasanya 10 hari pertama dah boleh nampak luka mula mengecut tapi jika tiada perubahan, tanya doktor anda, bolehkah dos Sporanox ditambahkan? Kalau boleh, gunakan dos yang baru pula. Teruskan bagi makan Sporanox, multi vitamin dan cuci luka seperti cara yang dinyatakan di atas sehingga kesan luka itu ditumbuhi bulu yang lebat (seperti gambar dalam artikel 'Kucing Sakit 2'). Jika tidak, luka ini boleh berulang semula. Paling lama boleh ambil masa sehingga sebulan tapi kalau betul cara rawatannya, dosnya, 25 hari dah tumbuh bulu lebat di situ tapi sporo di hidung lama sikit sembuh sebab dalam hidung.

Maklumat terkini saya dapat daripada doktor haiwan, ada kes sporo yang memakan masa sehingga 6 bulan untuk sembuh sepenuhnya. Oleh itu, harap pemilik kucing sporo bersabar, dan BERIKAN SPORONOX SETIAP HARI SEHINGGA IA BENAR-BENAR SEMBUH. Tercicir 1-2 hari pemberian sporonox boleh melambatkan proses penyembuhan.

Q10 : Mengapa haiwan/kucing saya cirit-birit bila makan Sporanox?
A10 : Cirit-birit itu mungkin kerana ia jilat ubat luka Povidon itu. Pakaikan kolar seperti gambar di atas pada kucing. Cuci kolar itu setiap hari sebab kadang-kala ia terlekat najis. Kalau kucing pandai buka kolar itu, ambil kain perca masuk pada ruang kecil macam lubang tali pinggang pada kolar itu & ikat longgar-longgar, jangan sampai tercekik pula, janji kucing tak boleh tanggalkan kolar tu dengan kaki dia.

Q11 : Perlukah letak ubat sapu atau bagi ubat lain-lain supaya cepat sembuh?
A11 : Setakat ini, saya hanya guna cara & ubat di atas sahaja. Alhamdulillah, lebih daripada 5 ekor kucing
sudah sembuh. Jika luka tidak kering juga selepas 5 hari, cuba hentikan teknik cucian luka seperti yang saya nyatakan di atas & rawat kucing sporo dengan pemberian pil Sporonox & pemakanan multi vitamin sahaja.

Terkini, ada ubatan cecair yang direkomen oleh doktor haiwan dan boleh dibeli dari klinik haiwan. Gambar kotak ubat itu seperti di bawah dan cara penggunaannya seperti yang tertulis pada kotak iaitu 7 hari diberi makan ubat itu, 7 hari seterusnya berhenti dan 7 hari lagi selepas itu disambung semula. Dosnya adalah mengikut berat badan haiwan tersebut. Harga pula mungkin mengikut klinik yang menjualnya tetapi efeknya lebih cepat berbanding Sporonox & multivitamin mesti diberikan juga.


Di bawah adalah gambar kesan pemulihan bagi penggunaan ubat di atas. Kesannya didapati lebih cepat berbanding kapsul Sporanox.



  


Q12 : Boleh bagi nasi campur ikan rebus tak pada kucing sporo?
A12 : Buat sementara waktu ini, berikan soft food perisa tuna (bila nak campur dengan Sporanox) dan
biskut haiwan kerana makanan ini ada vitamin tambahan yang diperlukan untuk bantu proses
pemulihan. Jenama pula, jika yang murah, vitaminnya ada cuma kualiti vitamin yang digunakan
kurang sikit berbanding vitamin dalam jenama premium.

Q13 : Multi vitamin yang macam mana nak bagi?
A13 : Ada jenis pil & cecair. Boleh beli di klinik haiwan atau pet shop tapi lebih baik yang direkomen oleh
klinik haiwan kerana mereka lebih mahir. Kalau ada jenis pil, lagi bagus kerana bau multi vitamin ni
haiwan tak suka.

Q14 : Apa kesan sampingan Sporanox?
A14 : Kalau diberi salah dos, boleh membahayakan nyawa haiwan kerana ia adalah ubat manusia. Kalau
terkurang dos pula, ia tak akan memberi kesan pada luka tersebut. Sila rujuk doktor haiwan anda.
Kalau ia tidur sahaja, ia perkara biasa bagi haiwan sakit. Nanti 3-4 hari kemudian, ia beransur kuat
kembali, insyaAllah.

Menjaga haiwan sakit memang memerlukan komitmen yang tinggi, kesabaran dan pengorbanan dari segi wang dan masa. Jangan abaikan kesihatan kita pula bila sibuk jaga kesihatan kucing. :) Yang penting usaha + doa + yakin = insya Allah berjaya cuma lambat sikit la sebab ia sakit luar biasa.

Semoga dipermudahkan urusan para pencinta haiwan sekelian. Didoakan rezeki anda murah, disayangi Tuhan & luka haiwan kesayangan anda itu lekas sembuh. Hanya Tuhan sahaja yang membalas jasa baik anda pada haiwan tersebut.

Kalau anda penat atau sedih, ceritakan masalah anda kepada doktor haiwan atau mereka yang faham & sukakan haiwan kerana jika anda salah mengadu, anda hanya akan mendapat nasihat negatif sahaja daripada mereka & anda bertambah sedih.

Sekian. Mohon maaf dari saya pencinta kucing. :)