Thursday, December 13, 2012

Perginya si kucing dementia

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Wahhh! Sudah lama saya tidak menulis. Maklumlah, musim hujan akhir-akhir tahun ni, otak pun kurang cergas. Heheh.

Pernah dengar perkataan 'dementia'? Jarang-jarang, kan? Kalau perkataan nyanyuk pula pasti sudah biasa. 'Dementia' itu bermaksud nyanyuk. Rupa-rupanya, penyakit ini juga dihidapi oleh ciptaan Tuhan dari kelas haiwan seperti kucing dan anjing.

Saya berpeluang menguruskan kucing dementia ini. Kami menamakannya ia 'warden' kerana ketika ia sihat ia adalah seekor kucing jantan yang sangat baik hati dan suka menjaga anak-anak kucing yang bukan anaknya. Di bawah ini adalah gambarnya ketika ia sihat.


Cuba lihat warna matanya. Sebelah kuning, sebelah lagi biru. Cantik, kan? Kata doktor haiwan, jika ada kucing yang mempunyai warna mata sebegini, bererti telinga kucing di sebelah yang berwarna biru itu pekak dan sebelah lagi normal.

Warden ini sebenarnya kucing yang datang ke rumah kami bila ia lapar sahaja. Umurnya tidak terlalu tua. Rasanya baru 4 tahun tapi menurut doktor haiwan, mungkin disebabkan oleh virus tertentu yang mengakibatkan ia menghidapi penyakit dementia.

Menurut maklumat daripada laman web ini http://vetmedicine.about.com/od/diseasesconditionscat/tp/feline-dementia.html, tanda-tanda kucing menghidapi penyakit dementia atau nyanyuk antaranya adalah faktor usia.

Sudah lama warden berhijrah ke rumah lain sebenarnya. Hampir setahun juga ia tidak ke rumah saya. Minggu lepas, saya amat terkejut apabila ternampak seekor kucing dewasa berwarna putih yang sangat kurus datang ke rumah saya. Ia sangat lapar dan haus. Saya dapati ia adalah Warden apabila melihat warna matanya.

Ketika itu, saya dapati ia hanya seperti kurang makan dan minum sahaja tetapi dua hari kemudian, Warden dilihat berjalan secara mengeliling sahaja. Seperti manusia 'bertawaf'. Apabila saya menyuakan biskut kucing kepadanya dalam mangkuk kucing, ia cuba mengunyah tetapi tidak berjaya. Saya gantikan ia dengan makanan lembut tetapi mangkuk kucing itu terpaksa dipegang mendekati mulutnya atau dengan erti kata lain makanan itu terpaksa disuapkan kemulutnya.

Okey. Ini sudah parah, kata hati saya. Tengahari itu, saya membawa Warden ke klinik haiwan. Doktor memeriksa telinganya. Beliau suspek mungkin Warden mengalami masalah pada telinganya menyebabkan sistem keseimbangannya terganggu. Air juga dimasukkan ke dalam badannya melalui tiub. Doktor kata ia menghidapi dementia. Beliau memesan saya agar jangan putus harapan. Warden perlu dirawat di dalam sangkar. Makanan yang saya berikan adalah makanan lembut A/D Science Plan khas bagi kucing bermasalah kritikal. Air pula doktor pesan agar saya pancitkan menggunakan picagari (tanpa jarum) ke dalam mulutnya seberapa banyak yang ia boleh minum sejam sekali. Multi vitamin juga perlu diberi sekali sehari. Telinganya perlu dipantau kebersihannya.

Sejak hari itu, Warden tinggal di dalam sangkar sambil berpusing-pusing. Bila ia penat, ia berhenti dan berbaring. Makan minum bersuap tetapi seleranya bagus walaupun tak sihat. Semalam, 'tawafnya' tidak secergas dua hari sebelumnya. Ia juga selalu mengiau dan keseimbangannya semakin kurang.

Pagi tadi, apabila saya mahu memberikan makanan dan membersihkan sangkarnya, saya dapati Warden sudah tidak bernafas lagi. Ia sudah pergi menghadap Tuhan.

Walaupun sedih tetapi saya bersyukur kerana Warden tidak mati merata-rata dan saya sempat membantu semampu yang mungkin untuknya. Sesungguhnya Tuhan lebih mengetahui segala yang berlaku. Walaupun Warden hanyalah seekor kucing, tetapi kita mesti membantunya sebaik mungkin. Semoga Tuhan mencucuri roh Warden. Aminn.