Tuesday, January 11, 2011

Si Kembar 7

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,

Alhamdulillah, bertemu lagi kita di laman blog 'Rona-roni E-Man Dhani'. Saya doakan agar para pembaca blog ini sihat walafiat dan dipermudahkan segala urusan di dunia akhirat. Aminnn.

Hari ni saya mahu bercerita tentang kembar 7. Sebelum tu, ingat lagi tak kisah John & Kate plus 8? Alaa... Pasangan suami isteri di Amerika Syarikat (sekarang sudah berpisah) yang dikurniakan kelahiran sulong kembar 2 dan kelahiran kedua kembar 6. Mereka berdua pun sudah menjadi selebriti semenjak mempunyai anak 8 itu.

Saya juga ada angan-angan mahu anak kembar 6 juga. Hahaha... tingginya angan-angan saya. Orang kata beranak kembar ini pun bergantung kepada genetik keturunan juga. Hanya Tuhan saja tahu.

Mahu dijadikan cerita, doa saya dimakbulkan Tuhan dan saya dikurniakan kembar 7. Kalah pasangan John dan Kate itu. Pertama kerana kembar ini berjumlah 7. Kedua kerana kembar ini berbulu dan berwarna-warni. Hahaha... tentulah ia bukan anak manusia. Ia adalah anak kepada pasangan 'Kembang' dan saya pun tidak tahu siapa nama kucing jantan yang bertuah itu. :)


Gambar di atas ini diambil 7 hari selepas Kembang beranak. Doktor veterina yang biasa saya kunjungi juga terperanjat mendengar berita ini. Anak-anak kucing ini sangatlah kecil daripada saiz anak kucing lain yang baru lahir. Mereka saya tempatkan di dalam sangkar yang sederhana besar bagi mengelakkan Kembang melakukan aktiviti 'pindah-memindah anak' yang amat digemari oleh ibu-ibu kucing. Konon-konon seperti manusia mahu mencolek anaknya pula. Tetapi pada pendapat saya, inilah cara terbaik bagi mengelakkan anak-anak kucing itu dimakan oleh kucing jantan dan anak-anak kucing lebih bersih dan sihat.

Bagi ibu kucing yang baru beranak, doktor veterina menasihati saya agar memberi Kembang minum susu khas untuk anak kucing kerana susu ini diperkayakan dengan protein. Doktor juga membekalkan saya satu botol kecil kalsium cecair untuk diminum selama sebulan buat Kembang. Protein bagus untuk pertumbuhan dan kalsium baik untuk kekuatan tulang Kembang.

Tiga minggu selepas itu, anak-anak kucing cepat membesar. Sangkar yang sederhana besar itu semakin sesak walaupun anak-anak kucing masih belum kuat berdiri. Mata pun baru buka minggu sebelumnya. (Mata anak kucing buka 2 minggu selepas lahir).

Saya bercadang mahu memindahkan Kembang dan 7 kembarnya ke dalam sangkar yang lebih besar. Saya telah mengupah pakcik saya yang pandai bertukang untuk membina sebuah 'banglo kucing'. Ianya setinggi 4 tingkat tetapi kami baru bukakan 2 tingkat pertama untuk Kembang dan anak-anaknya.

Malangnya, sehari sebelum dipindahkan ke 'banglo kucing', seekor daripada anak-anak Kembang mati dihimpap oleh ibunya. Innalillah. Kesian Kembang. Tinggal 6 ekor anaknya. Saya pun segera memindahkan mereka keesokan harinya. Sekarang anak-anak kucing itu sudah berusia lebih kurang sebulan 7 hari dan sudah pun diberikan nama. Nama-nama kampung dengan sebutan 1 suku kata sahaja iaitu Ron, Bob, Black, White, Grey dan Oren (2 suku kata).

                                     
Ini antara gambar anak-anak Kembang yang kembar 6 itu. Agak sukar mahu mengambil gambar anak-anak kucing yang aktif bermain ini. Penempatan ini hanyalah buat sementara waktu kerana saya tidak bercadang mahu mengurung kucing-kucing ini selama-lamanya. Ia hanya sementara menunggu anak-anak kucing membesar dengan sihat. Lagi pun berdosa mengurung haiwan tanpa sebab, kata pakar agama. Namun saya perlu memastikan ia besar, selesa dan bersih.

Sekian sahaja entri saya buat kali ini. Semoga mendapat manfaat dan ilham dalam memelihara kucing di masa akan datang. Semua kucing adalah cantik dan comel jika dijaga dengan bersih dan sihat. Hihihi.

2 comments:

  1. Saya mempunyai banyak kisah sedih dengan kucing. Dulu, masa budak-budak, saya ada seeoor kucing yang saya berikan nama comel. Walaupun saya sedang sakit, asma, saya tetap tidur dengan kucing saya itu. Tetapi diad duduk jauh sikit, sebab saya alah. Apabila saya masuk hospital, kucing saya itu hilang. Lama juga rasanya mengubat rasa rindu.

    Selepas itu, semasa pindah ke Kulim, saya juga ada seeokr kucing. Tetapi yang sadisnya, ketika saya mengundur kereta ke belakang, saya terlanggar kucing itu. Dia pun mati.Memang agak tragis dengan kucing. Sehingga kini tidak lagi membela kucing. Tetapi bila tengok gambar kucing akak ni, eh, rasa comel pula :)

    ReplyDelete
  2. Oh, ini antara kisah bahagia bersama sang kucing. Yang sedih-sedih akan menyusul kemudian. Bukan sedih pun tapi lebih kpd merawat kucing2 yang sakit.

    Kucing umur begini memang comel. Yang gambar seekor tu, diambil daripada posisi atas di mana ia sedang mendongak, sbb tu nampak macam kartun skit kepala dia. :)

    ReplyDelete