Wednesday, January 5, 2011

Ada 'jin'

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Apa khabar? Mestilah sihat, bukan? Kalau tak sihat, mesti tak berdaya badan mahu melayan internet dan membaca blog. Hihi. Tapi saya ada beberapa orang kawan yang dalam pantang pun masih layan main Farmville. Ibu zaman siberlah katakan.

Hmm... kalau ikut pada tajuk hari ini, 'Ada jin'. Macam tajuk cerita seram terbitan David Teo pula. Maklumlah, tv dan filem kita sejak akhir-akhir ini mengalami kebanjiran cerita yang berunsur hantu dan tahyul. 

Jeng-jeng. Macam suspen sahaja. Inilah yang saya mahu ceritakan sedikit. Kejadian 'ada jin' ini berlaku di sebuah tanah yang kami panggil kebun. Keluasannya kalau mahu dikirakan lebih daripada seekor kangkang kera. Mula-mula apabila mahu berkebun, perlulah dipastikan tanahnya bersih daripada pokok-pokok besar agar mudah bercucuk tanah nanti.



Kami mengambil masa lebih kurang 3-4 jam setiap kali berkebun dan waktunya bermula jam 7.30pagi bergantung pada cuti yang dimohon atau cuti hujung minggu. Antara pokok yang ditanam ialah nenas, ubi kayu, durian nan sebatang dan macam-macam lagi. Yang kelakarnya, sepupu saya siap tanam asparagus dan brocolli. Ketawa besar kami sebab kedua-dua sayur ini hanya tumbuh di kawasan tanah tinggi yang bersuhu dingin. Bagi tidak menghampakan semangat beliau, saya berpesan agar ditimbunkan tanah yang tinggi sebelum beliau menanam asparagus dan brocolli itu kemudian menyuruhnya membeli aircond untuk diletakkan bersebelahan dengan tanaman. Hahaha.

Selepas selesai berkebun, kami pun pulang dengan ketiak yang basah dan bau yang masam. Sekali pandang macam buruh kontrak. Dua kali pandang..., selalunya orang tidak akan memandang kami dua kali lagi selepas itu sebab kami bukanlah selebriti pun. :)

Maka dalam perjalanan pulang, abang saya bersuara serius. "Tadi abang ada nampak jin di kebun."

"Jin?" jawab saya dan ibu saya serentak. Suspen juga kerana tanah kebun itu sunyi dan dikelilingi oleh pokok-pokok kelapa sawit.

"Betul, jin besar!" abang saya menyambung lagi.

"Hish! Cakap betul-betul sikit," ibu saya menyoal lagi. Suara seperti takut pun ada, tak puas hati pun ada.

"Jin tu warna kuning. Nama pendeknya, jin. Nama panjangnya, 'jin'tolak. Hahahaha," jawab abang saya sambil ketawa bangga.

"Gedebush!" Ibu saya menepuk bahunya. "Buat orang suspen sahaja!"

"Adoi! Sakitlah! Betullah saya cakap tadi. Bukankah ada jentolak sedang tolak tanah jiran di depan kebun kita pagi tadi."

Kami pun sama-sama tertawa dengan lawak sarkes abang saya. Penat-penat pun beliau ada ilham untuk membuat lawak.

Habis cerita. Hihi. Insya Allah saya sambung di lain hari. Kena juga menjengah novel yang sedang dibuat agar segera siap.

No comments:

Post a Comment