Saturday, February 5, 2011

Tik-tok, tik-tok

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Apa khabar? Wah! Sudah lama saya tidak menulis dalam blog ini. Sebabnya, tak cukup masa. Hihi! :) Betulkah tak cukup masa? Saya selalu dengar perkataan ni sejak saya kecil lagi tetapi semua orang dikurniakan 24 jam sehari. Jadi, bagaimana boleh tak cukup lagi, ye?


Imej dari bluebuddies.com

Bercakap tentang masa, saya bukanlah orang yang hebat dalam menguruskan masa. Kadang-kala 'terkucil' juga. Namun, apa yang saya dapati daripada pengalaman dan pemerhatian saya, kalau kita ikut dan patuh dengan jadual waktu atau senarai kerja yang kita buat dengan betul, insya-Allah tiada isu masa yang tak cukup.

Cuba kita ingat semula, sejak kita tadika atau sekolah rendah lagi, cikgu bagi kita jadual waktu untuk kita buat persediaan pelajaran hari-hari, lepas tu dia ajar pula kita ikut 'duty rooster' sebagai jadual untuk membersih bilik darjah.

Kalau kita lihat dalam kehidupan seharian pula, semuanya dilakukan mengikut jadual waktu. Contohnya, waktu sekolah, waktu bekerja, waktu siaran tv, waktu penerbangan dan lain-lain lagi.

Lagi satu, jangan terlupa pula, agama Islam sendiri mengajar kita mementingkan masa melalui Surah Al-Asr yang berceritakan tentang masa. Orang Islam juga ada jadual solat yang ditentukan mengikut masa, tak kiralah solat wajib atau solat sunat, semua ada waktu yang spesifik bagi kita mengerjakannya. Puasa ramadhan di bulan ramadhan, puasa sunat dan puasa ganti, pergi haji di musim haji dan lain-lain lagi. Tidak boleh semberono sahaja.

Kalau kita lihat pada haiwan pula, mereka juga ada jadual waktunya sendiri. Waktu makan, waktu tidur, musim mengawan dan lain-lain.

Tumbuhan juga begitu. Contohnya, pokok nenas dan pokok durian, kedua-duanya adalah pokok buah-buahan namun masa bagi keduanya berbuah adalah berlainan. Nenas selepas 6 bulan ditanam manakala durian selepas 10 tahun ditanam.

Cuaca juga berubah mengikut waktu yang Tuhan tetapkan. Laut pasang, laut surut, semua ada waktu. Begitu juga dengan pusingan planet di galaksi bima saktinya.

Oleh itu, kita sebagai manusia mesti ada jadual waktu bagi mendisplinkan diri sendiri. Memanglah kalau kita langgar jadual waktu yang kita buat itu, tiada siapa yang akan marah sebab ia adalah jadual yang kita buat sendiri bagi menyusun waktu kita, bukan yang majikan berikan atau cikgu atau ibubapa berikan.

Namun, tak rugi patuhi jadual waktu yang kita buat itu. Ia menjadikan kita lebih berdisplin dan kerja pun banyak dapat dibereskan mengikut masa yang kita rancang.

Akhir sekali, jangan tinggalkan perkara yang wajib seperti solat 5 waktu walau sibuk macam mana sekali pun kita dengan tugasan seharian kerana orang yang menjaga perkara-perkara yang wajib di kala kesibukan adalah orang yang hebat. Mantapkan juga tahap kesihatan agar minda cerdas dan badan sihat.

Sekian sahaja. Assalamualaikum dan ceria-ceria selalu.

No comments:

Post a Comment