Sunday, November 22, 2015

Ubat Kutu

Assalamualaikum & salam sejahtera kepada semua pencinta haiwan terutama sekali kucing.

Kali ini saya nak cerita tentang ubat kutu yang sebelum ni saya pun tak kisah nak bagi pada kucing-kucing saya pun sebab saya anggap ia sebagai perkara kecil sahaja.

Tetapi bak kata pepatah pun, sudah terhantuk, baru nak terngadah ataupun dengan erti kata lainnya, dah terkena baru nak percaya.

Baru-baru ni, kucing saya, Grey sakit. Dia tak selera makan, minum dan berat badan turun dengan banyaknya. Saya fikirkan ia sakit demam biasa atau sakit tua tapi Grey baru usia 6 tahun, doktor kata 7 tahun ke atas baru dikategorikan sebagai kucing tua.  Selepas dah habis ubat demam yang doktor bagi untuk makan 5 hari pun tak pulih seperti biasa.

Gambar Grey ketika sihat

Hari ke-6 saya bawa semula Grey jumpa doktor. Doktor periksa mata dan gusi Grey, dia kata Grey menghidapi sakit kuning. Memang kalau tengok pun jelas kuningnya pada mata, gusi dan kulitnya (lepas diselak doktor).

Saya tanya apakah puncanya? Doktor pun selak-selak bulu Grey di tempat yang berlainan. Kemudian dia kata, Grey ada kutu. Kutu tu bukan saja hisap darah Grey malahan memindahkan sejenis kuman ke dalam darah Grey dan akan merosakkan sel darah Grey. Sebab tu Grey sakit.

Jadi, sekarang ni Grey dalam proses pemulihan selepas diletak ubat kutu, dimasukkan air untuk mengurangkan dehidrasi, diberi makan sejenis ubat yang perlu diambil selama 20 hari bagi memulihkan darah Grey serta diberi minum Liv-52, ubat pemulih hati Grey.

Jika anda ada kucing, tanya pada doktor, berapa kerap anda boleh letakkan ubat anti kutu pada kucing anda. Ubat anti kutu mesti diberi mengikut nasihat doktor kerana kalau tak diberi dengan betul, ia boleh menyebabkan kucing anda keracunan.

Memelihara kucing adalah satu amanah dan tanggungjawab. Jangan pelihara kerana mengikut trend ataupun ketika kucing itu comel saja tetapi bila dah sakit dibuang merata-rata.

Sekian sampai di sini dan terima kasih kepada yang menyayangi haiwan anda sehinga akhir hayat mereka. Semoga Tuhan membalas jasa baik anda dan memurahkan rezeki anda. Aminn.

No comments:

Post a Comment