Monday, May 21, 2012

Ini gigi kucing saya

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Apa khabar? Semoga para pembaca semua sentiasa dirahmati Tuhan dan sihat sentiasa.



Cuba lihat gambar di atas itu. Itulah gambar gigi geraham kucing saya yang namanya Anjang Tua. Saya namakan ia Anjang Tua sebab ada dua ekor kucing yang diberi nama Anjang, Seekor lagi Anjang Muda. Hihi. Sebelum ini saya pernah tulis tentang Anjang Tua juga dalam blog sebelum ini. Saya pun dah lupa tajuk blog itu.. Masa itu, kes kakinya berulat. Alhamdulillah, kakinya dah pulih sepenuhnya. Kali ini kes sakit gigi pula.

Bagaimana saya tahu Anjang Tua ni sakit gigi ek? Sebenarnya Anjang Tua adalah kucing yang tak bertuan. Hari-hari ia akan datang pagi dan petang setiap kali waktu makan kucing-kucing yang menumpang di rumah kami. Sebelum ini saya lihat ia okey sahaja apabila makan biskut kucing tetapi beberapa hari selepas itu, ia mula melompat-lompat kesakitan selepas mengunyah biskut kucing dan terus berhenti makan. Badannya juga mulai susut. Apabila saya cuba memeriksa mulutnya, ia marah. 

Oleh itu, saya pun meminta nasihat daripada doktor haiwan yang biasa kami rujuk. Menurut kata beliau, besar kemungkinan Anjang Tua sakit gigi. Dia kata, biasanya gigi haiwan akan tertanggal dengan sendiri apabila sudah tiba masanya tetapi ada juga kes-kes lain.

Maka, saya pun bawalah Anjang Tua ke klinik haiwan. Alhamdulillah, gigi geraham Anjang Tua yang rosak itu berjaya dicabut oleh doktor haiwan tersebut. Menurut beliau, kes ini berlaku apabila gigi yang rosak itu tidak berjaya tertanggal dengan sendirinya. Macam gigi manusia la, bila dah rosak tak dicabut. Apa akan jadi? Ia akan menyebabkan gusi bengkak, berdenyut-denyut, ngilu dan sebagainya. Begitulah yang dialami oleh Anjang Tua menurut kata doktor haiwan itu.

Sejak gigi geraham itu sudah dicabut, Anjang Tua sudah boleh makan dengan riang-ria. Beratnya juga sudah bertambah. Terima kasih kepada Tuhan dan doktor yang membantu kami. 

Dah habis dah tulisan dalam blog saya kali ini. Sehingga berjumpa di cerita yang lain pula. :)

Saturday, April 7, 2012

Lemak oh lemak

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Apa khabar semua pembaca blog ini? Saya doakan anda semua sihat, cergas & beriman sentiasa. Amin. :)

Kali ini saya mahu bercerita tentang masalah berat badan saya di dalam blog ini. Kalau dilihat pada bentuk fizikal saya, ramai makcik-makcik (warga emas) yang berpendapat, saya tiada masalah berat badan tetapi hakikatnya kalau ditimbang dengan pemberat yang boleh mengimbas peratusan lemak di dalam badan saya ini, saya termasuk di dalam kategori obes. Mengapa? Dengan ketinggian sebanyak 160cm dan usia 34 tahun, peratus lemak yang sihat bagi saya sepatutnya sekitar 19.7% sehingga 26.4% tetapi saya... tak pernah kurang daripada 34% lemak sejak berusia 29 tahun. Berat badan pula sekitar 63-60 kg. Huhu, budak obes rupanya saya ini. Stamina... macam warga emas, mudah letih.

Gambar dari myshapeplus.wordpress.com

Mujur tahap 'viceral fat' saya berada pada tahap sihat iaitu 5. 'Viceral fat' adalah lemak yang mengelilingi organ dalam tubuh kita seperti usus dan jantung. Peningkatan tahap 'viceral fat' boleh menyebabkan meningkatnya risiko kencing manis tahap 2, tekanan darah tinggi dan penyakit jantung. Ia juga boleh melibatkan peningkatan kolestrol dalam badan. Peningkatan tahap kolestrol pula boleh terjadi pada orang yang kurus juga atas faktor genetik dan pemakanan.

Mengenangkan umur yang semakin meningkat ini, saya tak boleh biarkan lemak itu bermaharajalela tinggal di dalam tubuh saya tanpa bayar sewa. Macam kawasan rumah setinggan pula. Haha. Mahu bersenam, malas tak rajin, mahu ke pusat perlansingan badan atau membeli produk pemakanan bagi mengurangkan berat badan, khuatir pula risiko jangka panjang ia terhadap badan ini.

Saya teringat tentang rancangan 'The Biggest Losser' yang mana jurulatihnya adalah Jillian Michael yang terkenal itu. Saya pun cuba mencari video senaman yang ditunjuk ajar oleh beliau di kedai cd dengan harapan dapat melakukannya sendiri di rumah. Seronok bukan kepalang kerana berpendapat boleh turun berat badan dengan mudah selepas ini nanti. Satu bulan saya cuba gerak laku yang diajar dalam cd beliau namun hampa kerana berat tak turun, lutut dan tumit saya pula semakin sakit.

Hmmm... kecewa + musykil. Apakah lagi yang perlu saya lakukan dengan lemak saya ini? Degil sungguh! Saya bosan dan pencen berhenti seketika daripada bersenam. Satu hari, saya berbual dengan rakan saya yang rajin bersenam di gym. Saya dapat beberapa tip daripada beliau. Rakan saya itu memberitahu, bagi mengelakkan kecederaan akibat bersenam, kita perlu lakukan senaman dengan cara pernafasan dan cara pergerakan yang betul. Dalam masa yang sama, pemakanan juga mesti dijaga. Yang penting nilai kalori  harian yang kita makan setiap hari. Gabungan senaman dan nilai kalori harian adalah cara terbaik bagi mengawal berat badan. Saya pun kurang faham cerita kawan saya itu maka dia suruh saya buka laman web ini bagi keterangan lanjut.

Sekarang, alhamdulillah, dengan cara bersenam dan mengawal kalori harian saya, saya berjaya menurunkan berat badan saya daripada 63.1kg pada 27 Januari,2012 kepada 57.7kg pada 31 Mac, 2012. Stamina juga semakin bagus. Alhamdulillah, dah lama saya tak capai berat badan sedemikian. Bacalah tip daripada laman web tersebut. InsyaAllah berjaya. Tidak perlu bersenam setiap hari. Luangkan masa paling kurang 3 kali seminggu bagi bersenam pun sudah cukup bagus. Selamat menjadi sihat dan cergas. Anda mampu lakukannya! :)

Sunday, March 18, 2012

Oren yang terdengkot-dengkot

Assalamualikum dan selamat sejahtera.

Hari ini saya mahu menulis tentang salah seekor daripada kucing-kucing saya yang diberi nama Oren. Tadi saya bawa ia ke klinik haiwan kerana sudah 3-4 hari ia berjalan terdengkot-dengkot. Kasihan saya melihat Oren. Terasa berdosa pun ada kerana menangguhkan tempoh penghantaran ke klinik itu. Huuu.... Maafkan saya, Oren.

Inilah gambar Oren ketika ia berusia 6 bulan, sekarang sudah 1 1/2 tahun

Kenapa saya tangguhkan bawa ke klinik haiwan? Pertama, kerana berfikiran bahawa sakit kakinya itu boleh pulih dengan sendiri selepas 1-2 hari kemudian. Hmmm, berdasarkan pengalaman saya dengan beberapa ekor kucing yang lain, memang kadang-kala mereka jalan terdengkot-dengkot selepas bergaduh kemudian pulih semula keesokan harinya tetapi tidak pula bagi si Oren ini.

Kedua, kerana hari Sabtu klinik buka separuh hari dan ahad tidak buka pula. Huuuu.... Maafkan saya lagi sekali, Oren. Kakinya semakin membengkak tetapi apabila saya cuba mencari mana-mana kesan luka atau lubang yang menyebabkan bengkak itu memang tiada. Selera makannya memang okey cuma ia makan sambil berbaring.

Tadi sewaktu doktor haiwan memeriksa kakinya, kelihatan kaki yang terlibat itu sedikit basah. Rupa-rupanya, bengkak itu sudah pecah dan mengeluarkan nanahnya. Ada dua lubang sebesar kepala jarum peniti apabila dilihat. Oh, kasihan.

Doktor haiwan itu berpesan, lain kali apabila kucing peliharaan kita kelihatan berjalan terdengkot-dengkot, perkara yang perlu kita perhatikan adalah :


  • lihat cara kucing itu berdengkot, adakah kaki yang sakit itu masih boleh jejak pada lantai atau pun tergantung-gantung sahaja kerana apabila ia kelihatan tergantung sahaja, kemungkinan besar kaki itu patah, jika tidak, mungkin ia terseliuh, terluka atau tercucuk duri pokok
  • cuba cari luka atau lubang pada kaki yang terlibat. Kadang-kala, lubangnya amat kecil tetapi ia masih boleh membengkak kerana berlaku jangkitan kuman
  • jangan tunggu sampai ia membengkak dengan besar kerana jika ia dibawa awal kepada doktor haiwan, memadai ia dirawat dengan memberi makan ubat antibiotik dan satu 'injection' bagi mengelakkan kaki itu terus membengkak, kos perubatan pun boleh dijimatkan tetapi...
  • jika terjadi seperti kes kucing Oren saya di atas, doktor meminta Oren ditinggalkan di klinik agar dapat beliau cuci dan rawat lebihan nanah dan darah kotor yang berbaki pada kaki yang bengkak itu. Menurut beliau lagi, sedikit torehan kecil akan dibuat pada kaki tersebut bagi tujuan rawatan dan cucian (istilah yang biasa mereka gunakan bagi mencuci luka adalah 'dressing'). Lusa nanti bolehlah saya bawa Oren pulang. Semoga Oren lekas sembuh. Amin. :)
Begitulah cerita tentang kucing saya yang ada sebanyak lebih kurang 20 ekor. Sebenarnya hanya ada 7 ekor sahaja kucing rasmi di rumah kami. Yang lain adalah kucing-kucing yang tidak bertuan dan suka melepak di hadapan dan belakang rumah kami sambil berdoa agar diberikan makanan setiap pagi dan petang oleh 'tuan angkatnya' ini. Hihihi. Tiada seekor pun yang kami beli dan sudah pun kami mandulkan agar dapat menjaga populasi mereka. Cuma seekor sahaja yang kami gagal mandulkan kerana tersangatlah liarnya yang kami berikan ia nama Liar. Huhuhu. Sekarang beranak lagi 2 ekor. Nanti saya ceritakan pula kisah uniknya.

Sekian. Sehingga bertemu di lain waktu.

Saturday, March 3, 2012

Kerjaya Unik - Doktor Sakit Mental

Assalamualaikum & selamat sejahtera. Didoakan agar anda semua sentiasa dirahmati Tuhan dan sihat sejahtera. J

Kali ini, saya mahu kongsikan bersama para pembaca mengenai kerjaya rakan saya yang saya anggap unik iaitu Doktor Psikiatari atau Doktor Sakit Mental. Mengapa saya anggap unik? Hmm... sebelum saya menjawab soalan itu, saya mahu bertanya kepada anda semua. Berapa ramai orang yang berani mendekati dan membantu orang yang sakit jiwa di luar sana? Sila angkat tangan macam Usop Wilcha! Hihihi. Bergurau sahaja. Saya juga tidak berani kerana tiada kepakaran. Kebanyakkan daripada mereka dibuang keluarga, dibiarkan merayap seorang diri dengan keadaan yang tidak terurus dan ada juga yang berani bertindak ganas apabila diberi bantuan.Tahniah saya ucapkan kepada semua para doktor psikiatari yang berkhidmat di luar sana. Anda semua sangat berani. Semoga Tuhan membalas jasa murni anda, wahai doktor psikiatari.

gambar dari healthandphysicaleducationteacher.com

Menurut kajian yang saya baca di dalam sebuah artikel, penyakit mental akan menjadi penyakit nombor dua terbanyak dihidapi oleh manusia menjelang tahun 2020 nanti. Wah! Adakah ini bermakna akan ada ramai pesakit mental yang berkeliaran di merata-rata tempat? Tidak semestinya... kerana menurut rakan saya itu, sakit mental terdiri daripada pelbagai kategori dan peringkat. Antara perkara yang termasuk di dalam kategori sakit mental adalah seperti berikut :
  • ketagihan - arak, dadah, video lucah dll
  • kecewa bercinta
  • berfikiran negatif - dengki, iri hati, menfitnah dll
  • ponteng sekolah / kerja
  • suka menyeksa haiwan 
  • murung, stress
  • pembuli dan dibuli
  • pendera dan didera
  • keinginan membunuh diri
  • tidak mempunyai pegangan agama
  • masalah rumah tangga
Wah! Dahsyat bukan apabila berfikiran negatif dan suka ponteng sekolah juga termasuk di dalam kategori sakit mental. Rakan saya itu menasihatkan, dapatkanlah rawatan dengan segera jika anda mempunyai sebarang tanda-tanda seperti di atas sebelum ianya menjadi tenat di dalam diri anda. Mendekatkan diri dengan Tuhan juga adalah salah satu cara bagi mengelakkan diri daripada penyakit mental kerana biasanya pesakit mental mudah dipengaruhi oleh bisikan syaitan. 

Menurut pakar pemakanan pula, gejala stress boleh menyebabkan lebih banyak hormon kortisol terhasil di dalam tubuh kita dan menyebabkan meningkatnya nafsu makan. Haaa... tu dia... kata orang utara. Sudahlah sakit mental, berat badan pula semakin bertambah. Sungguh tidak berbaloi.

Akhir kalam, dekatkan diri dengan Tuhan, berfikiran positif, berkawan dengan orang-orang yang positif dan penuhkan hidup anda dengan aktiviti yang positif. Sekian.







Wednesday, February 15, 2012

Kelahiran Kedai Buku Online Saya

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,

Apa khabar pembaca yang dikasihi sekalian? Semoga kita semua sentiasa dirahmati Tuhan hendaknya. Aminnnn.

Sudah makan atau belum? Bagi yang sudah makan, tahniah... tetapi jangan banyak makan sangat, nanti bertambah berat badan pula. Bagi yang belum makan lagi, jangan abaikan kesihatan anda. Apabila kurang makan nanti, badan lesu, minda 'slow' pula mahu berfikir. Hihihi. Yang penting, serba sederhana di dalam semua hal, insyaAllah.

Kali ini saya mahu tulis tentang kelahiran kedai buku online saya yang berlabel 'Kedai Buku Eman Dhani'. Alhamdulillah, berkat keizinanNya maka pada malam semalam bersamaan 15 Febuari,2012, 'Kedai Buku Eman Dhani' selamat di'upload'kan ke alam siber dengan beralamatkan www.kedaibukuemandhani.com Terima kasih kepada Encik Tempahblog.com :) Ucapan terima kasih juga kepada editor saya, Cikpuan Nurul Azura yang menjadi pembakar semangat kepada saya agar menjual buku saya secara online. Jasamu dikenang.


Kedai ini menawarkan buku-buku hasil tulisan saya, E-Man Dhani dan abang saya, AD Mirzai serta Al-Quran mini beserta tafsiran yang murah dan mudah dibawa ke mana-mana sahaja. Setiap novel yang dibeli juga akan mendapat tanda tangan penulis di dalamnya selain daripada hadiah RM5, RM10 dan RM30 bagi setiap jumlah pembelian yang tertentu.

Semoga kedai buku online ini mendapat sambutan yang hangat daripada anda semua. Aminnn.

Sekian sampai di sini dahulu. Sila-silakan melawat 'Kedai Buku Eman Dhani' ya. :) Terima kasih.

Saturday, February 11, 2012

Cinta Rasul daripada Ustaz Don

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Apa khabar para pembaca sekalian? Semoga kita semua sentiasa dirahmati Allah hendaknya. Amin.

Bersempena dengan bulan Maulidur Rasul ini, tidak banyak perkara yang ingin saya tuliskan berkaitan dengan Rasulullah S.A.W kerana saya bukan pakar dalam bidang ini tetapi ingin saya berkongsi dengan anda semua, ceramah berkenaan 'Cinta Rasul' yang disampaikan oleh ustaz favourite saya iaitu Ustaz Don Daniyal :). Beliau adalah antara penceramah yang mana ceramahnya amat berkesan di hati saya selain daripada ceramah Ustaz Kazim Alias dan Ustaz Azhar Idrus.

Di bawah ini adalah ceramah berkenaan tajuk 'Cinta Rasul' yang boleh anda semua dengar bagi menanamkan rasa 'cinta' kepada Rasulullah S.A.W mulai daripada sekarang. Selain daripada itu, kita perlu rajin bersolawat kepada Rasulullah S.A.W dan rajin membaca buku berkenaan baginda. Antara buku yang terkandung kisah mengenai baginda adalah buku saya yang bertajuk '31 Kisah Teladan - Wang Dinar Malaikat'. Amboi, sempat lagi promote buku sendiri lagi. Huhuhuhu.

Mari kita sama-sama tonton ceramah yang best ini. Sollu 'alal nabi. Allahumma solli 'ala Saiyidina Muhammad, wa 'ala ali Saiyidina Muhammad. Sekian. Terima kasih.

Tuesday, February 7, 2012

Cara membeli 'running shoes'.

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Apa khabar para pembaca semua? Bagaimana cuti panjang kali ini? Apa? Berat semakin bertambah kerana banyak hadiri jemputan kahwin dan kenduri sanak-saudara? Huhuhu. Tidak mengapa, sekali-sekala makan besar, apa salahnya... kalau hari-hari makan besar yang bahaya. Jika begitu, selepas ini kita jaga semula gaya pemakanan kita dan bersenam agar lemak yang berlebihan (akibat makan lauk-pauk kenduri) tadi terbakar dan berat badan kita tidak terus meningkat. Okey? Boleh? Pandai.... :)

Salah satu daripada cara membakarkan lemak berlebihan dalam badan kita adalah dengan berjoging. Tidak kiralah sama ada anda berjoging di atas 'treadmill' mahu pun di padang atau pun di tepi jalan raya, janji ada tempat bagi berjoging dan bersenam. Ibu saya berjoging dari ruang tamu ke dapur sahaja (berulang-alik) bagi mencapai target bersenam mingguan beliau. :)

Apabila kita berjoging, pastikan kita memakai kasut sukan yang bersesuaian bagi aktiviti kita itu. Bagi tujuan berjoging, kita perlu pakai 'running shoes' atau kasut untuk berlari. Sebelum ini saya hanya tahu, jika mahu berjoging, kita pergi ke kedai sukan dan pilih kasut yang berlabel 'running shoes' atau yang sewaktu dengannya tetapi rupa-rupanya tidaklah semudah itu.

Menurut nasihat seorang 'personal trainer' yang mempunyai kelulusan dalam Bidang Sains Kesihatan dari UiTM, jika kita mahu membeli 'running shoes', kita perlu tahu bentuk tapak kaki kita atau dikenali sebagai 'foot arches' kerana tapak kaki manusia biasanya terdiri daripada 'flat arch', normal arch' dan 'high arch' seperti di bawah. Jika kita tersilap beli kasut yang tidak bersesuaian, tapak kaki kita akan berasa sakit dan tidak selesa ketika berjoging atau berlari. Begitulah yang terjadi kepada saya. Saya memang tidak pernah tahu tentang perkara ini pun sebelum ini. Para penjual kasut juga tidak pernah bertanyakan tentang bentuk 'foot arch' saya sebelum ini. Huhuhu. Sungguh kasihan. :P

Sumber gambar : calvinshub.com

So, bagaimana kita mahu mengenali bentuk 'foot arch' kita? Kita boleh lakukan ujian sendiri di rumah seperti yang ditunjukkan di dalam laman web ini, http://www.runnersworld.com/article/0,7120,s6-240-319-326-7152-0,00.html, atau pun minta pekedai lakukan ujian untuk kita. Erm... tidak semua penjual kasut sukan tahu mengenai perkara ini sebenarnya.

Contohnya, semalam ketika saya masuk satu kedai sukan 'tuuut' dan bertanya kepada salesmannya, "Maafkan saya. Boleh encik pilihkan saya running shoes yang sesuai dengan bentuk tapak kaki saya?" Tanpa ragu-ragu, salesman itu terus menunjukkan saya semua running shoes yang diperagakan dalam kedai mereka tanpa melakukan sebarang ujian bagi mengetahui bentuk tapak kaki saya. Saya pun terus senyum, ucapkan terima kasih kepada pekedai itu dan cari kedai sukan lain pula. (Mujur dalam kompleks membeli-belah itu ada banyak kedai sukan yang lain).

Setelah dua kedai sukan yang saya masuk memberi jawapan yang sama seperti di atas, maka saya pun terus masuk ke kedai sukan yang ketiga. Hati saya berasa riang apabila saya ternampak carta cara mengenali 'foot arch' tertampal pada pintu masuknya. Saya terus bertanya soalan yang sama pada salesmannya dan salesman itu meminta saya tunggu sebentar sementara dia pergi ke belakang kaunter bayaran. Beberapa saat kemudian dia keluar dengan membawa peralatan bagi membuat ujian mengenali bentuk tapak kaki saya. Wah! Akhirnya, Tuhan ketemukan saya dengan sebuah kedai sukan yang bijak! Erm... maksud saya, penjual kasut sukan yang bijak dan akhirnya, saya dapat membeli 'running shoes' bagi tapak kaki saya yang berbentuk 'high arch' ini. Happy ending. Ngeee.... Sekian. Terima kasih.