Saturday, February 11, 2012

Cinta Rasul daripada Ustaz Don

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Apa khabar para pembaca sekalian? Semoga kita semua sentiasa dirahmati Allah hendaknya. Amin.

Bersempena dengan bulan Maulidur Rasul ini, tidak banyak perkara yang ingin saya tuliskan berkaitan dengan Rasulullah S.A.W kerana saya bukan pakar dalam bidang ini tetapi ingin saya berkongsi dengan anda semua, ceramah berkenaan 'Cinta Rasul' yang disampaikan oleh ustaz favourite saya iaitu Ustaz Don Daniyal :). Beliau adalah antara penceramah yang mana ceramahnya amat berkesan di hati saya selain daripada ceramah Ustaz Kazim Alias dan Ustaz Azhar Idrus.

Di bawah ini adalah ceramah berkenaan tajuk 'Cinta Rasul' yang boleh anda semua dengar bagi menanamkan rasa 'cinta' kepada Rasulullah S.A.W mulai daripada sekarang. Selain daripada itu, kita perlu rajin bersolawat kepada Rasulullah S.A.W dan rajin membaca buku berkenaan baginda. Antara buku yang terkandung kisah mengenai baginda adalah buku saya yang bertajuk '31 Kisah Teladan - Wang Dinar Malaikat'. Amboi, sempat lagi promote buku sendiri lagi. Huhuhuhu.

Mari kita sama-sama tonton ceramah yang best ini. Sollu 'alal nabi. Allahumma solli 'ala Saiyidina Muhammad, wa 'ala ali Saiyidina Muhammad. Sekian. Terima kasih.

Tuesday, February 7, 2012

Cara membeli 'running shoes'.

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Apa khabar para pembaca semua? Bagaimana cuti panjang kali ini? Apa? Berat semakin bertambah kerana banyak hadiri jemputan kahwin dan kenduri sanak-saudara? Huhuhu. Tidak mengapa, sekali-sekala makan besar, apa salahnya... kalau hari-hari makan besar yang bahaya. Jika begitu, selepas ini kita jaga semula gaya pemakanan kita dan bersenam agar lemak yang berlebihan (akibat makan lauk-pauk kenduri) tadi terbakar dan berat badan kita tidak terus meningkat. Okey? Boleh? Pandai.... :)

Salah satu daripada cara membakarkan lemak berlebihan dalam badan kita adalah dengan berjoging. Tidak kiralah sama ada anda berjoging di atas 'treadmill' mahu pun di padang atau pun di tepi jalan raya, janji ada tempat bagi berjoging dan bersenam. Ibu saya berjoging dari ruang tamu ke dapur sahaja (berulang-alik) bagi mencapai target bersenam mingguan beliau. :)

Apabila kita berjoging, pastikan kita memakai kasut sukan yang bersesuaian bagi aktiviti kita itu. Bagi tujuan berjoging, kita perlu pakai 'running shoes' atau kasut untuk berlari. Sebelum ini saya hanya tahu, jika mahu berjoging, kita pergi ke kedai sukan dan pilih kasut yang berlabel 'running shoes' atau yang sewaktu dengannya tetapi rupa-rupanya tidaklah semudah itu.

Menurut nasihat seorang 'personal trainer' yang mempunyai kelulusan dalam Bidang Sains Kesihatan dari UiTM, jika kita mahu membeli 'running shoes', kita perlu tahu bentuk tapak kaki kita atau dikenali sebagai 'foot arches' kerana tapak kaki manusia biasanya terdiri daripada 'flat arch', normal arch' dan 'high arch' seperti di bawah. Jika kita tersilap beli kasut yang tidak bersesuaian, tapak kaki kita akan berasa sakit dan tidak selesa ketika berjoging atau berlari. Begitulah yang terjadi kepada saya. Saya memang tidak pernah tahu tentang perkara ini pun sebelum ini. Para penjual kasut juga tidak pernah bertanyakan tentang bentuk 'foot arch' saya sebelum ini. Huhuhu. Sungguh kasihan. :P

Sumber gambar : calvinshub.com

So, bagaimana kita mahu mengenali bentuk 'foot arch' kita? Kita boleh lakukan ujian sendiri di rumah seperti yang ditunjukkan di dalam laman web ini, http://www.runnersworld.com/article/0,7120,s6-240-319-326-7152-0,00.html, atau pun minta pekedai lakukan ujian untuk kita. Erm... tidak semua penjual kasut sukan tahu mengenai perkara ini sebenarnya.

Contohnya, semalam ketika saya masuk satu kedai sukan 'tuuut' dan bertanya kepada salesmannya, "Maafkan saya. Boleh encik pilihkan saya running shoes yang sesuai dengan bentuk tapak kaki saya?" Tanpa ragu-ragu, salesman itu terus menunjukkan saya semua running shoes yang diperagakan dalam kedai mereka tanpa melakukan sebarang ujian bagi mengetahui bentuk tapak kaki saya. Saya pun terus senyum, ucapkan terima kasih kepada pekedai itu dan cari kedai sukan lain pula. (Mujur dalam kompleks membeli-belah itu ada banyak kedai sukan yang lain).

Setelah dua kedai sukan yang saya masuk memberi jawapan yang sama seperti di atas, maka saya pun terus masuk ke kedai sukan yang ketiga. Hati saya berasa riang apabila saya ternampak carta cara mengenali 'foot arch' tertampal pada pintu masuknya. Saya terus bertanya soalan yang sama pada salesmannya dan salesman itu meminta saya tunggu sebentar sementara dia pergi ke belakang kaunter bayaran. Beberapa saat kemudian dia keluar dengan membawa peralatan bagi membuat ujian mengenali bentuk tapak kaki saya. Wah! Akhirnya, Tuhan ketemukan saya dengan sebuah kedai sukan yang bijak! Erm... maksud saya, penjual kasut sukan yang bijak dan akhirnya, saya dapat membeli 'running shoes' bagi tapak kaki saya yang berbentuk 'high arch' ini. Happy ending. Ngeee.... Sekian. Terima kasih.

Saturday, January 21, 2012

Suka makan tetapi tak suka gemuk

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Hari ini saya mahu cerita sedikit tentang topik bersenam. Apa? Bersenam? Jeng jejengggg.... Boringlah topik ini :P

Eh, chop, chop, chop. Sebenarnya bersenam memang tidak seronok... seronok lagi makan, rehat-rehat, tidur tetapi apabila sudah gemuk, tak sihat... itu lagi 10 kali tidak seronok, bukan? Betulll... apabila berat badan kita bertambah, kita akan jadi tidak cergas, mudah penat dan kelihatan lebih tua daripada usia sebenar. Menakutkan, bukan?

Oleh itu, bagaimana mahu makan tetapi dalam masa yang sama tidak bertambah berat badan? Menurut maklumat yang saya perolehi daripada Kementrian Kesihatan Malaysia, kita perlu target 10 ribu langkah sehari. Apa??? 10 ribu langkah? Jeng jejeng....

Mengapa perlu target 10 ribu langkah sehari? Sebab... 10 ribu langkah bersamaan dengan 7-8 km perjalanan dan ia boleh mengurangkan anggaran sebanyak 64g lemak sehari iaitu bersamaan dengan 100 minit atau 1 jam 40 minit berjalan kaki tetapi ini berjalan kaki laju-laju ye, bukan jalan kaki lenggang mak limah, huhuhu.

Jangan berjalan kaki terus-menerus selama 100 minit pula. Kita buat sedikit-sedikit dahulu, 50 minit pagi, 50 minit petang. Mula-mula memanglah terasa seperti mahu putus nyawa tetapi lama-kelamaan okey sahaja. Makan pun perlu jaga, jangan pula selepas bersenam, kita 'balas dendam' dengan makan 3 keping roti canai dan 2 cawan teh tarik pula, huhuhu. Tak de maknalah senaman kita itu nanti. :)

Gambar dari - myjumpropeworkout.com


Jadi, bersenamlah hari-hari untuk kebaikan diri sendiri. Apabila kita sihat, kita dapat beribadah dengan lebih baik dan berkualiti. Bukankah kita selalu bermohon agar Tuhan kurniakan kita kesihatan baik tetapi berdoa sahaja tidak dapat menjadikan kita sihat jika tidak diikuti dengan usaha seperti bersenam dan menjaga pemakanan yang baik. Untuk maklumat lanjut, dalam novel saya 'Fatimah Fatty' ada banyak tip mengawal berat badan yang mudah dan berkesan.

Sekian. Sehingga berjumpa di lain tajuk pula.

Saturday, January 14, 2012

Melawat negeri Kak Limah

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Uiii.... Lama betul saya tak menulis di dalam blog ini. Kalau ada labah-labah, mesti sudah bersawang blog ini dihias oleh sang 'spider' itu. Kui,kui,kui.

Hmm.... Ingat lagi tak pada filem popular lagi kelakar yang bertajuk, 'Hantu Kak Limah Balik Kampung'? Haaa.... Bulan lepas saya pergi melawat kampung Kak Limah iaitu Negeri Perak Darul Ridzuan. Maksud saya, bukanlah untuk berjumpa dengan Kak Limah tetapi bagi menemani ibu saya jalan-jalan sambil makan durian di sana.

Bagi sesiapa yang gemar makan durian, raja segala buah-buahan ini, elok sangatlah kalau dapat ke Perak kerana di sini orang jual durian sangat murah berbanding di Selangor atau Kuala Lumpur. Harga yang dikenakan bukan berdasar pada berat buah tetapi berdasar kepada harga sebiji buah sahaja iaitu dalam anggaran RM4 hingga RM6 sahaja sebiji. Tambahan pula ianya adalah dari jenis durian kampung, bukan 'durian kahwin' atau 'durian kacukan' seperti yang biasa orang panggil dengan nama D24, musang king dan sebagainya tetapi gerai-gerai durian ini hanya dapat dijumpai jika kita melalui jalan lama Perak. Ini tiada kena-mengena dengan filem 'Misteri Jalan Lama', ya. Huhuhu.

Ibu dan abang saya yang 'hantu durian' tidak sempat-sempat tunggu balik rumah. Mereka terus makan di gerai itu sahaja. Saya yang biasa-biasa sahaja dengan durian ini hanya menjadi perakam imej durian. Sambil menunggu ahli keluarga saya makan, saya berborak dengan pakcik penjual durian itu. Kalau dengar cara pakcik durian itu cakap, teringat saya pada Usop Wilcha. Pekat telor bahasa Peraknya pakcik ni.

Saya tanya pada pakcik durian ini, apa beza durian kampung dengan durian kacukan? Dia kata, rasanya lebih sedap. Pokoknya pula tahan sehingga melebihi 70 tahun tetapi mahu tunggu buah pertama mula berbuah ambil masa 10 tahun ke atas. Namun begitu saiz buahnya tidak menyusut walaupun pokoknya semakin tua manakala pokok durian kacukan ini memang menghasilkan buah dalam masa 4 tahun ke atas tetapi usianya tidak panjang dan saiz buahnya semakin mengecil apabila pokok semakin tua. Rasanya pula bergantung kepada jenis kacukannya.

Okey, selepas makan durian kami pergi lawat Istana Kellie atau Kellie's Castle yang terletak di Batu Gajah, Perak. Ala... tempat pengambaran drama Nilapura itu berlangsung. Sebelum masuk ke tempat lawatan, kami disambut oleh si comel ini (bukan kucing Izzah Ombak Rindu ye) di kaunter bayaran. Macam bosan sahaja dengan tugas sebagai penjaga kaunter. Huhuhu.
 
Kalau mahu tahu lebih lanjut tentang istana ini, bolehlah baca di pautan ini http://www.explore-ipoh.com/kellies-castle.html. Kisahnya sangat menarik. Saya juga kagum dengan hasil pembinaan istana yang berusia 100 tahun ini walaupun ianya tidak sempat disiapkan sepenunya. Kalau difikirkan 100 tahun dahulu, rumah ini memang suatu binaan yang canggih memandangkan teknologi yang amat terhad ketika itu.


Semasa istana ini dibina, pemiliknya tinggal di sebuah rumah di bahagian belakangnya seperti gambar di bawah ini namun ada bahagian yang sudah runtuh akibat serangan tentera di Tanah Melayu dahulu.


Minta maaf kerana gambar-gambar saya ini agak kebiruan kerana saya terlupa mahu membetulkan setting white balance kamera saya. :)

Sebelum pulang (lawatan balik hari sahaja), kami melawat pula di Menara Condong Teluk Intan. Mahu melawat Menara Condong Pisa, Itali, belum cukup duit lagi. Huhuhu. Bolehlah baca pautan ini http://menara-condong.blogspot.com/ untuk mengetahui lebih lanjut tentang menara condong ini.


Sambil memandu pulang, kami hidangkan telinga kami dengan cd ceramah Ustaz Kazim, ustaz popular yang juga dari Perak sebagai penghilang mengantuk dan rawatan rohani. :)

Bak kata pepatah, jauh perjalanan, luas pemandangan. Semoga bertambah juga ilmu pengetahuan dan keimanan hendaknya. Amin.

Okey. Nanti saya cerita lagi tentang lawatan saya ke tempat lain pula. Kita mulakan dengan Semenanjung Malaysia dahulu. Assalamualaikum dan tatatititutuuuuu.

Saturday, October 1, 2011

Kucing mati

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Hari ini saya mahu tulis cerita sedih tentang kematian. Sesungguhnya mati itu pasti. Sedih, sedih, sedih.

Sebagai seorang penggemar haiwan, saya juga akan turut berasa sedih apabila ada haiwan yang mati terutama sekali kucing.

Ini kisah seekor anak kucing yang saya kutip bernama Dodi. Gambarnya tidak sempat dirakam kerana usianya di rumah saya sangat singkat iaitu kurang dari sebulan tapi warnanya lebih kurang macam warna kucing di bawah ini.



Pertama kali Dodi datang ke rumah saya dengan mata dan hidung yang penuh dengan tahi mata dan hingus. Ia datang bersama dengan seekor lagi adik-beradiknya yang lain tetapi adiknya itu hilang dua hari selepas itu. Sebenarnya adiknya itu lebih sakit berbanding Dodi. Saya pun tak tau apa nasib adiknya itu sekarang. Sudah lama saya tak jumpa ia.

Berbalik semula kepada Dodi. Selasa lepas, 27 September saya hantar Dodi ke klinik haiwan setelah tidak berjaya mengurangkan selsemanya. Dodi tinggal di klinik selama lima hari. Pada mulanya doktor kata ia sudah mampu makan sendiri tetapi dua hari sebelum ia dibawa pulang, Dodi tidak mahu makan dan minum lagi. Ia terpaksa disuapkan dengan makanan lembut.

Semalam, 1 Oktober, Dodi terpaksa dibawa pulang walaupun keadaannya semakin kronik. Doktor kata, dia sudah buat yang terbaik tetapi nampaknya tiada perubahan. Saya tidak menyalahkan doktor haiwan itu kerana beliau adalah doktor haiwan yang terbaik yang pernah saya dapatkan rawatan bagi kucing-kucing saya setakat ini.

Walaupun beberapa kali al-Fatihah, selawat dan surah Yasin sudah saya bacakan buat Dodi namun Tuhan lebih menyayanginya. Sesungguh nyawa itu milik Tuhan pentadbir sekelian alam. Saya hanya mampu berusaha, berdoa dan bertawakal. Dodi mati pada waktu isyak dengan dua kali hembusan nafas yang sangat tenang selepas al-Fatihah dibacakan kepadanya buat kali yang kesembilan. Innalillahi wainna ilaihi roji'un.

Thursday, September 22, 2011

Nak atau perlu?

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Amboi, amboi, amboi. Bukan main lagi saya bercuti sakan menulis blog ini sejak dari bulan puasa sehingga sekarang baru mahu sedar diri. Hahaha. Bikin riuh sedikit dalam blog ini.

Malam semalam saya sempat menonton rancangan Semanis Kurma. (Aaa... semput) Tiba-tiba sahaja teringatkan lawak dari Kumpulan Sepah setiap kali menonton Semanis Kurma. Tajuk yang dibincangkan semalam adalah 'Bahana Bakhil' dan artis jemputannya pula adalah penyanyi Nora bersama suaminya.

Apa yang menarik minat saya adalah tajuk itu sendiri kerana ramai orang masih lagi tidak tahu membezakan antara jimat dan kedekut. Ustazah Bahiyah ada menyebut bahawa dugaan bagi umat Nabi Muhammad adalah harta kerana biasanya orang yang berharta mudah lupa Tuhan. Oleh itu, bersedekah dapat membuang sifat bakhil dalam diri kita. Bersedekah tidak semestinya dengan wang ringgit sahaja, kita boleh bersedekah tenaga, ilmu dan macam-macam lagi.

Penyanyi Nora ditanya oleh Ustazah Bahiyah, "Bagaimana cara Nora mengawal perbelanjaan agar tidak boros?"

Saya suka dengan jawapan beliau. Dia berkata, "Setiap kali saya atau ahli keluarganya mahu membeli sesuatu barang, saya akan bertanya, adakah barang ini PERLU dibeli atau MAHU dibeli? Contohnya, kalau kita MAHU beli pensel, kita akan beli lebih daripada sebatang tetapi jika kita beli kerana PERLU, ia memadai hanya sebatang sahaja."

Bijak bukan perkongsian ilmu beliau. Pada pendapat saya, cara ini lebih praktikal bagi mengawal nafsu membeli-belah kita. Ingat, membazir itu sifat syaitan. Kita perlu bijak mengaplikasikan sifat jimat itu. Bersedekah juga perlu pada saluran yang betul. Salah bersedekah boleh menggalakkan peningkatan populasi peminta sedekah.

Sekian. Tata, titi, tutu :)



Monday, July 25, 2011

Tip berbuka puasa di hotel

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Apa khabar semua? (Ucapan ini dilakukan sambil melambai-lambaikan tangan dengan wajah yang ceria kepada pembaca-pembaca blog ini :))

Kali ini saya mahu kongsi tip berbuka puasa di hotel. Tip ini saya dapat ketika saya dengar radio IKIM pada hari jumaat lepas, on the way menuju ke TGV bagi menonton Harry Potter & The Deathly Hallows Part 2. Saya tidak tahu apa nama chef yang memberi tip ini tetapi ianya amat berbaloi bagi mereka yang bercadang mahu berbuka puasa di hotel pada ramadan akan datang.

Chef ini menceritakan, memandangkan bayaran bagi buffet berbuka puasa adalah lebih kurang rm120 seorang (mungkin bayaran ini bagi buffet di hotel 5 bintang), maka kita perlu pandai memilih menu agar bayaran yang dibuat adalah berbaloi dan perut tidak terlalu penuh sampai tak larat nak solat terawih pula. Berikut adalah tip-tipnya :

  1. Mulakan dengan sebiji kurma dan segelas teh tarik kemudian pergi solat maghrib. Elakkan minum air terlalu banyak, nanti nak solat maghrib pun perut rasa sebu dan bila rukuk atau sujud boleh rasa nak termuntah pula.
  2. Lepas solat, makan sedikit appetizer (makanan pembuka selera seperti kuih-muih).
  3. Kemudian makan main course pula. Jangan ambil menu seperti nasi, mi hoon goreng atau satey pula kerana menu ini sedang didapati. Pilih menu-menu mahal seperti lamb chop (sekilo rm48) dan lobster (rm60), yang penting ia mahal dan kita tidak mampu sediakannya sendiri di rumah. 
Begitulah serba-sedikit yang diterangkan oleh chef tersebut. Apa yang penting, bulan ramadan bukan bulan pesta makan tetapi bulan bagi kita memperbanyakkan ibadah kerana pada bulan ini amalan kita lebih berganda pahalanya berbanding bulan-bulan lain. 

Jadikan ramadan al-mubarak (yang penuh keberkatan) bukan ramadan al-murtabak (yang banyak jual murtabak). Heheh.

Selamat menyambut ramadan dan jangan makan banyak-banyak ye. :)