Saturday, October 1, 2011

Kucing mati

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Hari ini saya mahu tulis cerita sedih tentang kematian. Sesungguhnya mati itu pasti. Sedih, sedih, sedih.

Sebagai seorang penggemar haiwan, saya juga akan turut berasa sedih apabila ada haiwan yang mati terutama sekali kucing.

Ini kisah seekor anak kucing yang saya kutip bernama Dodi. Gambarnya tidak sempat dirakam kerana usianya di rumah saya sangat singkat iaitu kurang dari sebulan tapi warnanya lebih kurang macam warna kucing di bawah ini.



Pertama kali Dodi datang ke rumah saya dengan mata dan hidung yang penuh dengan tahi mata dan hingus. Ia datang bersama dengan seekor lagi adik-beradiknya yang lain tetapi adiknya itu hilang dua hari selepas itu. Sebenarnya adiknya itu lebih sakit berbanding Dodi. Saya pun tak tau apa nasib adiknya itu sekarang. Sudah lama saya tak jumpa ia.

Berbalik semula kepada Dodi. Selasa lepas, 27 September saya hantar Dodi ke klinik haiwan setelah tidak berjaya mengurangkan selsemanya. Dodi tinggal di klinik selama lima hari. Pada mulanya doktor kata ia sudah mampu makan sendiri tetapi dua hari sebelum ia dibawa pulang, Dodi tidak mahu makan dan minum lagi. Ia terpaksa disuapkan dengan makanan lembut.

Semalam, 1 Oktober, Dodi terpaksa dibawa pulang walaupun keadaannya semakin kronik. Doktor kata, dia sudah buat yang terbaik tetapi nampaknya tiada perubahan. Saya tidak menyalahkan doktor haiwan itu kerana beliau adalah doktor haiwan yang terbaik yang pernah saya dapatkan rawatan bagi kucing-kucing saya setakat ini.

Walaupun beberapa kali al-Fatihah, selawat dan surah Yasin sudah saya bacakan buat Dodi namun Tuhan lebih menyayanginya. Sesungguh nyawa itu milik Tuhan pentadbir sekelian alam. Saya hanya mampu berusaha, berdoa dan bertawakal. Dodi mati pada waktu isyak dengan dua kali hembusan nafas yang sangat tenang selepas al-Fatihah dibacakan kepadanya buat kali yang kesembilan. Innalillahi wainna ilaihi roji'un.

Thursday, September 22, 2011

Nak atau perlu?

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Amboi, amboi, amboi. Bukan main lagi saya bercuti sakan menulis blog ini sejak dari bulan puasa sehingga sekarang baru mahu sedar diri. Hahaha. Bikin riuh sedikit dalam blog ini.

Malam semalam saya sempat menonton rancangan Semanis Kurma. (Aaa... semput) Tiba-tiba sahaja teringatkan lawak dari Kumpulan Sepah setiap kali menonton Semanis Kurma. Tajuk yang dibincangkan semalam adalah 'Bahana Bakhil' dan artis jemputannya pula adalah penyanyi Nora bersama suaminya.

Apa yang menarik minat saya adalah tajuk itu sendiri kerana ramai orang masih lagi tidak tahu membezakan antara jimat dan kedekut. Ustazah Bahiyah ada menyebut bahawa dugaan bagi umat Nabi Muhammad adalah harta kerana biasanya orang yang berharta mudah lupa Tuhan. Oleh itu, bersedekah dapat membuang sifat bakhil dalam diri kita. Bersedekah tidak semestinya dengan wang ringgit sahaja, kita boleh bersedekah tenaga, ilmu dan macam-macam lagi.

Penyanyi Nora ditanya oleh Ustazah Bahiyah, "Bagaimana cara Nora mengawal perbelanjaan agar tidak boros?"

Saya suka dengan jawapan beliau. Dia berkata, "Setiap kali saya atau ahli keluarganya mahu membeli sesuatu barang, saya akan bertanya, adakah barang ini PERLU dibeli atau MAHU dibeli? Contohnya, kalau kita MAHU beli pensel, kita akan beli lebih daripada sebatang tetapi jika kita beli kerana PERLU, ia memadai hanya sebatang sahaja."

Bijak bukan perkongsian ilmu beliau. Pada pendapat saya, cara ini lebih praktikal bagi mengawal nafsu membeli-belah kita. Ingat, membazir itu sifat syaitan. Kita perlu bijak mengaplikasikan sifat jimat itu. Bersedekah juga perlu pada saluran yang betul. Salah bersedekah boleh menggalakkan peningkatan populasi peminta sedekah.

Sekian. Tata, titi, tutu :)



Monday, July 25, 2011

Tip berbuka puasa di hotel

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Apa khabar semua? (Ucapan ini dilakukan sambil melambai-lambaikan tangan dengan wajah yang ceria kepada pembaca-pembaca blog ini :))

Kali ini saya mahu kongsi tip berbuka puasa di hotel. Tip ini saya dapat ketika saya dengar radio IKIM pada hari jumaat lepas, on the way menuju ke TGV bagi menonton Harry Potter & The Deathly Hallows Part 2. Saya tidak tahu apa nama chef yang memberi tip ini tetapi ianya amat berbaloi bagi mereka yang bercadang mahu berbuka puasa di hotel pada ramadan akan datang.

Chef ini menceritakan, memandangkan bayaran bagi buffet berbuka puasa adalah lebih kurang rm120 seorang (mungkin bayaran ini bagi buffet di hotel 5 bintang), maka kita perlu pandai memilih menu agar bayaran yang dibuat adalah berbaloi dan perut tidak terlalu penuh sampai tak larat nak solat terawih pula. Berikut adalah tip-tipnya :

  1. Mulakan dengan sebiji kurma dan segelas teh tarik kemudian pergi solat maghrib. Elakkan minum air terlalu banyak, nanti nak solat maghrib pun perut rasa sebu dan bila rukuk atau sujud boleh rasa nak termuntah pula.
  2. Lepas solat, makan sedikit appetizer (makanan pembuka selera seperti kuih-muih).
  3. Kemudian makan main course pula. Jangan ambil menu seperti nasi, mi hoon goreng atau satey pula kerana menu ini sedang didapati. Pilih menu-menu mahal seperti lamb chop (sekilo rm48) dan lobster (rm60), yang penting ia mahal dan kita tidak mampu sediakannya sendiri di rumah. 
Begitulah serba-sedikit yang diterangkan oleh chef tersebut. Apa yang penting, bulan ramadan bukan bulan pesta makan tetapi bulan bagi kita memperbanyakkan ibadah kerana pada bulan ini amalan kita lebih berganda pahalanya berbanding bulan-bulan lain. 

Jadikan ramadan al-mubarak (yang penuh keberkatan) bukan ramadan al-murtabak (yang banyak jual murtabak). Heheh.

Selamat menyambut ramadan dan jangan makan banyak-banyak ye. :)

 

Friday, June 3, 2011

Enam bulan kemudian....

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Hari ni saya tak mahu cerita banyak-banyak. Cuma nak kongsi gambar kucing-kucing saya (yang beranak 7 ekor sekali gus tu tapi mati seekor) sejak ia berusia 7 hari sehinggalah hari ini, 6 bulan.
Memperkenalkan 'Kembang', ibu kepada 6 ekor anak kucing, umur 3 tahun, berat 5kg.

Ni lah anak-anak dia semasa umur 7 hari. Masa ni ada 7 ekor semuanya.

Yang ni umur anak kucing dah 20 hari, tapi dah tinggal 6 ekor je sebab seekor mati kena hempap mak dia.

Ha..., ni gambar 4 daripada 6 ekor anak kucing. Masa ni umur ia dah 2 bulan. Tengah nakal sangat, susah mau ambil gambar sebab tak reti duduk diam.

Anak 'Kembang' dah berumur 6 bulan, ni namanya 'Grey', jantan dan sangat peramah. Suka jawab semula kalau kita tanya dia. Suka kena peluk, yang lain tak berapa suka kena peluk.

Yang ni pulak, namanya 'Oren'. Rupa macam emaknya. Betina.

Alhamdulillah, semua anak-anak 'Kembang' hidup setakat ini dan harap Tuhan panjangkan umur mereka dengan kesihatan yang baik. Amin. Anak 'Kembang' 3 jantan, 3 betina. Tiga jenis long hair, tiga jenis short hair.

Sekian sahaja sampai di sini. Panjang umur kita berbicara lagi dalam blog. Tata, titi, tutuuuu.

Monday, May 9, 2011

Gunting dan rambut

Assalamualaikum & selamat sejahtera,

Apa khabar semua? Bagaimana dengan Pesta Buku Antarabangsa 2011 yang lalu? Banyak membeli-belah buku-buku? Saya? Hmm... nak kata banyak pun tidak, sikit pun tidak tetapi berat juga bahu memikul dan jari menghayun beg plastik yang berisi buku-buku yang dibeli. Bak kata pepatah, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Hihi.

Saya ke PWTC dua kali. Kali pertama adalah pada hari sabtu dan kali kedua pada hari khamis. Dua-dua hari itu lebih kurang sama sahaja ramainya bilangan pengunjung. Hebat juga semangat orang-orang Malaysia membaca sekarang ini. Tahniah! Ada juga yang saya lihat datang dengan membawa beg bagasi beroda bagi mengisi buku-buku yang dibeli. Haha, bijak juga. Agaknya, lain kali, pihak penganjur perlu sediakan troli macam di pusat membeli-belah pula. :)

Hari ini saya mahu bercerita tentang tukang gunting rambut kerana saya baru lepas balik gunting rambut. Fesyen? Biasa-biasa sahaja, tidaklah ranggi atau menakutkan apabila dipandang. :)
                                                            Sumber dari cafepress.co.uk

Pada pendapat saya,  kerjaya ini adalah antara kerjaya yang mencabar. Betul.... Jangan tidak percaya. Walaupun ianya tidak sehebat mana di mata orang ramai dan bukanlah di antara cita-cita yang ibubapa nasihatkan kepada anak-anak mereka untuk jadi bila dewasa nanti tetapi ianya memang mencabar (pada pandangan sayalah).

Ini kerana :

  • rambut yang sudah dipotong, tidak boleh dicantum semula jika ianya tersalah potong. 
  • tukang gunting biasanya akan menggunakan pencukur yang terdiri daripada sebilah pisau yang agak besar dan tajam. Tempat yang dicukur pula di bahagian muka, tengkuk dan berdekatan telinga. Pegh! Cuba bayangkan jika dia tersilap cukur atau terbersin ketika itu? Boleh putus telinga kita dibuatnya. Hahaha, saya memang berasa ngeri dan berdoa banyak-banyak di dalam hati setiap kali dicukur.
  • mereka juga terdedah kepada pelbagai masalah rambut termasuklah kutu, berbau dan pelbagai lagi
  • penggunaan hair dryer dan alat-alat elektrik yang lain juga perlu berhati-hati kerana semua ini dilakukan di bahagian kepala pelanggan. 
  • cuci rambut juga perlu berhati-hati 
  • bukan doktor bedah sahaja yang tidak boleh terdiri daripada mereka yang mempunyai penyakit parkinson atau darah gemuruh, tukang gunting juga tidak terkecuali.

Apa-apa pun, setiap kerjaya pasti ada cabarannya yang tersendiri. Yang penting, ia mestilah menghasilkan pendapatan yang halal agar hidup kita lebih berkat dan bahagia dunia akhirat. Ngeee.

Saya akhiri dengan sebuah pantun dua kerat.

Ada lori bawa ikan bilis
Lain kali boleh tulis.

Hmm.... Maaflah, pantun tak sedap. Tiada bakat menulis pantun. Sekian sahaja. 

Sunday, April 3, 2011

Gigi oh gigi

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Wah! Sudah lama saya tak menulis di dalam blog ini. Sibuk dengan pelbagai perkaralah katakan, huhu. Sibuk dengan kucing sakit, diri sendiri sakit, menulis dan lain-lain lagi.

Tentang kucing saya yang sakit kaki (cerita dalam blog sebelum ini), kakinya alhamdulillah sudah bercantum lukanya walaupun ia memang mengambil masa yang lama mahu mengubatinya. Kucing liar yang suka datang minta makan di rumah saya, oleh itu kurang mesra bila mahu diubati. Saya mahu ambil gambar kakinya yang sudah baik pun, dia tak beri tapi menurut kata doktor haiwan, ia tidak banyak ragam dengannya pula kerana mungkin ia tahu doktor itu mahu mengubatinya. Apa yang penting, lukanya sudah sembuh. Alhamdulillah.

Kali ini saya mahu bercerita tentang gigi. Rabu lepas saya pergi klinik gigi kerana terasa seperti ada gigi saya yang sakit apabila saya minum air sejuk. Lagi pun sudah dua tahun saya tidak ke sana. Hahaha, teruk betul, bukan? Sepatutnya kita perlu berjumpa doktor gigi setahun 2 kali agar gigi kita sihat dan tidak perlu pakai gigi palsu pada usia muda. Iyalah, sakit gigi bukan perkara yang boleh dibuat main-main. Bila sudah sakit, makan pun tak boleh, kepala sakit malahan seluruh tubuh sakit tetapi dalam banyak-banyak doktor sebenarnya, doktor gigilah yang ramai orang takut untuk berjumpa.


Bukan setakat kanak-kanak sahaja yang takut jumpa doktor gigi malahan ada juga orang dewasa yang takut berjumpa dengannya. Saya? Bergantung kepada situasi. Biasanya cuci gigi atau tampal gigi lebih sakit daripada cabut ggi pada pendapat saya kerana cuci dan tampal gigi lebih ngilu seluruh badan berbanding cabut gigi.

Walau bagaimanapun, doktor gigi pesan, jangan tunggu sampai gigi terasa sakit baru mahu jumpa doktor gigi kerana ketika itu, gigi sudah berada di dalam peringkat yang parah dan tidak boleh ditampal-tampal lagi maka hukuman cabut perlu dikenakan ke atas gigi yang tidak bersalah itu. Heheh. Ia adalah suatu yang membazir kerana bila dah dicabut, kita sudah tiada gigi lagi memandangkan manusia hanya ada 2 set gigi sahaja. Pakai gigi palsu, bukan sahaja tidak selesa malahan kos pembuatannya pula mahal.

Oleh itu, ikutilah pesan doktor gigi, "Sayangi gigi anda kerana ia hanyalah milik anda sekali seumur hidup. Berus gigi dengan cara yang betul dan jangan lupa guna flos gigi."

Thursday, February 24, 2011

Kucing sakit

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Kucing oh kucing. Sebenarnya, rumah kami tiada kucing rasmi, kebanyakkannya adalah kucing-kucing pendatang yang tumpang makan, lepas kenyang, mereka pergi ke mana-mana yang mereka suka pula. Saya pun beri mereka makanan yang dibeli secara borong 15kg sebulan di sebuah kedai borong makanan kucing di Shah Alam. Banyak juga saya dapat kurang harganya berbanding jika beli di kedai-kedai yang lain.

Walaupun kucing-kucing itu datang ikut suka mereka sahaja tetapi mereka ada nama. Haha, mudah saya nak memanggilnya apabila mereka berkerumun minta makan. Kucing memang haiwan yang di dalam kategori yang tidak setia jika dibandingkan dengan anjing (menurut kajian, saya tak bela anjing pun) kerana ia akan sayang pada sesiapa sahaja yang rajin memberi ia makan.

Tetapi yang membuat saya terkilan sedikit adalah apabila orang hanya suka membela kucing apabila kucing itu cantik, bersih dan sihat sahaja. Pantang nampak kucing macam ini, mesti tak lama, ia akan lesap entah ke mana namun bila kucing itu sakit, berkurap, kotor..., siapa pun tak ambil peduli. Kesian haiwan yang bernama kucing sakit ini.

Siang tadi saya pergi hantar seekor kucing yang kami namakan Anjang Kuning ke klinik haiwan. Masalahnya besar dan mengerikan. Anjang seekor kucing jantan dewasa. Empat hari lalu ia datang minta makan dengan kaki yang terdengkot-dengkot. Pada mulanya saya lihat lukanya sebesar belakang batang pensil sahaja. Saya pun letaklah ubat sapu yang biasa Dr. Punita (veterinarian/doktor haiwan)  untuk luka dengan harapan ia akansembuh.

Empat hari selepas tu, ia datang kembali ke rumah saya. Kakinya sudah sangat bengkak dan 2 kali ganda besar daripada biasa. Jalannya juga dah terlompat-lompat. Nanah menitik-nitik dari kakinya. Saya sabar dan siram ubat sapu yang sama. Hari ini saya tak sanggup lagi tengok lukanya yang tiada sebarang tanda mahu pulih. Bawah ini gambar kakinya yang luka kronik itu. Saya rakamkan dengan handphone sebelum ke klinik.




Saya pun masukkan Anjang dalam bakul plastik dan bawa ke klinik haiwan. Uish! Susah mahu masukkan seekor kucing liar ke dalam bakul. Syukurlah bila dalam kereta, ia diam sahaja. Sampai di klinik, Dr. Punita kata luka dia dah teruk dan ada ulat berenga atau maggot dalam bahasa inggeris. Ulat ini terhasil dari telur lalat .

Saya tanya pada doktor, "Mana? Tak de pun ulat itu doktor?"

Tidak lama selepas tu, ulat pun menguit-nguit keluar dari bawah kulit Anjang. Adus! Macam dengar pula ulat tu dan ia u-turn semula masuk ke bawah kulit Anjang. Saya tanya pada doktor, "Oh! Ada seekor saja doktor."

"No....there's plenty of them under the skin. Sebab itulah kaki dia bengkak. Selain daripada ia bernanah, ia juga ada ulat," jawab doktor tanpa rasa geli. Arghhh! Mengerikan! Doktor kata keadaannya menjadi teruk dengan cepat kerana ia kucing liar yang makan apa sahaja yang orang buang.

Tiba-tiba Anjang berasa tidak selesa dan mula meronta-ronta. Habis separuh dari bilik rawatan dipenuhi dengan darah dari kaki Anjang. Saya, doktor dan pembantu doktor juga panik menangkap Anjang yang melompat-lompat dengan darah yang meleleh banyak.

Akhirnya, bila Anjang sudah kepenatan, ia tenang dan dimasukkan ke dalam sangkar yang doktor sediakan. Ia dipakaikan kolar khas agar Anjang tak dapat jilat luka yang akan dirawat doktor.

Hari ini adalah hari ke-3 Anjang berada di klinik haiwan. Pagi tadi saya telefon doktor untuk mengetahui keadaan Anjang. Doktor memberitahu, Anjang dah semakin tenang dan mudah dirawat. Luka ia juga beransur pulih. Ulat-ulat juga dah dibuang. Syukur alhamdulillah.

Esok Anjang sudah boleh dibawa balik namun saya perlu masukkan ia ke dalam sangkar agar lukanya boleh dirawat sehingga ia benar-benar pulih untuk dilepaskan ke dunia luar seperti kucing-kucing lain. Nanti saya akan masukkan lagi gambar-gambar kaki Anjang dari masa ke semasa.

Sekian untuk hari ini. Wassalam.