Friday, August 12, 2016

Kucing dan masalah mata

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Apa khabar semua pencinta haiwan? Semoga anda & haiwan kesayangan anda, tak kira sama ada yang anda beli atau pungut, semuanya berada dalam keadaan sihat sejahtera.

Hari ni saya nak cerita pasal kucing dan masalah sakit mata yang sering berlaku pada anak-anak kucing. Bulan puasa baru-baru ini, saya ada selamatkan seekor anak kucing yang akhirnya saya berikan namanya Hulk.

Hulk selepas rawatan (kiri) Hulk sebelum rawatan (kanan)
Untuk makluman anda, anak-anak kucing ni, kalau yang membesar tanpa ibu, biasanya tak pandai cuci mata mereka sendiri maka mereka ni memang akan mudah terkena jangkitan pada mata & kalau dibiarkan akan jadi bengkak dan akhirnya terjuntai keluar dari soket mata. 

Macam kes Hulk ni, masa dia merayap ke rumah saya, matanya dah mula sakit dan saya dah letak ubat mata yang khas untuk anak kucing, yang ada saya spare di rumah. Beberapa hari lepas tu, dia tak datang lagi ke rumah saya. Saya fikirkan, tuannya dah ubatinya tapi tak lama lepas tu, dia datang dengan keadaan mata yang dah parah, dah bengkak bernanah seperti dalam gambar di atas. Sedih saya kerana masa kucing tu comel, disayang-sayang, bila mata dah terjojol keluar, diabaikan. Sungguh tak bertanggungjawab tuannya. Saya bukanlah nak tunjuk baik sangat dan bukanlah seorang hartawan tetapi lebih kepada berperi kemanusiaan. Geram pun ada kerana memelihara haiwan kesayangan ni sebenarnya lebih kepada amanah Allah dan komitmen seumur hidup haiwan itu, bukannya hobi yang bila dah boring dibuang ia merata-rata! Manusia ni fikir perbuatan mereka tu, Allah tak nampak ke? Astaghfirullahal a'zim. Semoga manusia sebegini diberikan hidayah & semoga haiwan-haiwan ini dilindungi Allah. Amin.

So, nak dijadikan cerita, bila dah nampak mata yang terjojol tu, saya pun pergi la bawa Hulk ke vet dan macam biasa, jawapannya adalah, mata Hulk perlu dibuang sebelah. Kesian. Kecik-kecik lagi dah buta sebelah mata.

Hulk dan seekor lagi 'pesakit' yang lain di klinik yang saya hantar

Hulk on the way balik rumah
Selepas dah sihat, Hulk balik rumah tapi lepas sebulan di rumah, bila saya lepaskan keluar, Hulk pergi curi makan sisa makanan yang orang buang kat belakang rumah pulak. Haishhh! Nak pi marah jiran-jiran, mereka mempunyai persepsi bahawa it's okay untuk kucing makan sisa makanan. 

Mana boleh fikir macam tu lebih-lebih lagi kalau yang makan tu kucing orang lain. Dah la sisa makanan tu penyebab banyak lalat. Najis-najis kucing saya pun, saya bungkus elok-elok masuk tong sampah. Saya tak buang merata-rata. Nak tegur jiran ni nanti, jadi isu pulak. Bukan senang nak educate orang kita ni. Tersangatlah mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan jiran-jiran, padahal semua keturunan Islam ni. Hmmm. Last-last, kena cirit-birit yang teruk pulak Hulk kali ni dan jahitan mata dia terbuka, mungkin sebab gatal makan sisa makanan tu. Maka petang tadi, Hulk dihantar semula ke vet untuk rawatan. Allahu robbi. Semoga dipermudahkan urusan Hulk. 

Selain daripada Hulk, ada beberapa lagi kucing yang buta sebelah mata dan ada yang macam berselaput atau juling, yang orang abaikan (sebab tak cantik) kemudian saya pelihara dan rawat.

Ni Tom Tom, si juling
Ni Billy, sebelah mata berselaput & mungkin buta
Dan ada juga yang baka cantik diabaikan seperti Awie, baka mainecoon

Awie, mata terpaksa dibuang sebelah akibat bergaduh
Tu belum kira lagi kitten yang dibuang di rumah saya sebab berkurap seperti Milo 

Milo Sebelum
Milo dah cantik
Kesimpulannya, kalau tak mampu nak bela kucing banyak-banyak, mandulkanlah kucing tu supaya ia tak membiak dan terabai. Dah keluar fatwa agama oleh JAKIM yang menyatakan HARUS & TAK BERDOSA memandulkan kucing atau anjing. Adalah lebih berdosa lagi jika mereka ini diabaikan, dibuang dan dibiarkan mati kerana penyakit atau kelaparan. 

Mohonlah sangat-sangat, kalau tak tahu tu, bertanyalah kepada pakar seperti doktor haiwan. Jangan buat keputusan sendiri. Elakkan daripada membeli kucing atau anjing. Lebih baik anda selamatkan & pelihara kucing-kucing atau anjing-anjing jalanan yang banyak terabai dan bersepah tu. Adopt don't shop. 

Sekian. Salah silap minta maaf. Saya bukannya nak mengajar-ajar cuma saya kesal dengan mentaliti sesetengah masyarat kita. Tolongggg lah, penganiayaan haiwan juga berdosa dan boleh didakwa.