Saturday, December 12, 2015

Kucing dan penyakit FIP

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Apa khabar para pembaca dan pencinta kucing sekelian. Hari ni saya nak kongsikan bersama anda tentang penyakit FIP.

FIP atau nama panjangnya adalah Feline Infectious Peritonitis menurut buku di gambar bawah yang saya beli RM5 kat BigBadWolf dan juga melalui maklumat Wikipedia, ia adalah suatu penyakit akibat daripada virus yang menyerang di bahagian 'peritoneum' atau lapisan abdomen kucing yang mengakibatkan perut kucing membengkak tetapi badannya semakin kurus dan yang menyedihkan adalah buat masa ni, ia tak boleh diubati dan boleh membawa maut.



Sebelum mengetahui tentang wujudnya penyakit ini, saya ada terbaca satu post dalam FB saya, tentang kucing yang terkena sakit busung. Ya, memang kucing dalam post itu sangat besar perutnya tapi ia bukan mengandung. Nak dijadikan cerita, selang beberapa hari kemudian, ada seekor kucing dewasa yang saya tak tahu siapa tuannya datang berkongsi makanan dengan kucing-kucing yang saya pelihara di luar rumah. Kucing ini jantan. Pada mulanya memang dia aktif, sihat dan berselera saja bila makan.

Selang 2 minggu kemudian, saya rasa hairan sebab perut dia makin lama makin buncit. Saya tengok punggung dia. Eh? Jantan tapi kenapa perutnya buncit semacam tapi kalau diusap, boleh terasa tulang belakangnya. Terus saya teringat kes kucing dalam post FB tu. Ya Allah. Hati saya berdebar. Berdoa juga supaya jangan dia kena penyakit tu. Lagi pula dia kucing yang datang bila nak makan saja lepas tu pergi.

Satu pagi tu, saya tunggu dia datang macam biasa. Kali ni saya nekad nak 'kidnap' dia untuk bawa pergi klinik sebab dari pembacaan saya melalui Google, kalau betul dia kena FIP, makanan dan minuman dia boleh menjangkiti kucing lain. Saya tak boleh biarkan kucing lain terkena penyakit itu juga.

Nak dijadikan cerita, kucing itu disah oleh vet menghidapi FIP. Kesian. Jadi sekarang kucing tu ada saya tempatkan dalam sebuah sangkar besar yang selesa untuk dia menjalani sisa-sisa hidup dia dengan penyakit yang tak ada ubat dan boleh membawa maut itu. Ya, saya terpaksa kurung dia demi keselamatan kucing lain juga. Hari-hari saya cakap dengan kucing ni supaya dia faham. Dia tak banyak kerenah, tak mengamuk. Mungkin sebab dia pun tahu dia sakit.


Ini gambar kucing tu. Hari ni dah minggu ke-2 dia tinggal dalam sangkar. Perutnya memang tak sebesar dulu sebab doktor ada bagi pil untuk kurangkan air dalam perutnya tapi hari demi hari dia dah tak kuat makan macam mula-mula dia datang dulu. Dia dah lemah. Banyak kencing tapi tak buang air besar dah 3 hari.

Rasa sebak ketika menaip blog ni sebab saya tak dapat bantu pulihkan dia seperti saya bantu kucing-kucing yang saya pernah cerita dalam blog ni.

Kesimpulannya, kalau ada kucing-kucing yang anda jumpa, yang mana penyakitnya boleh menjangkiti kucing-kucing lain, saya merayu supaya rawatlah ia dan kurung kucing itu di tempat yang selesa demi keselamatan kucing-kucing lain di luar sana.

Bak kata Steve Cheetham, Chief Veterinary Officer RSPCA, "Owning a cat is great fun but a huge responsibility. All animals need a regular routine and lots of love and attention. But most importantly, pets need owner who are going to stay interested in them and committed to them all their lives."

Sekian. Sehingga berjumpa di lain post nanti.