Saturday, December 12, 2015

Kucing dan penyakit FIP

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Apa khabar para pembaca dan pencinta kucing sekelian. Hari ni saya nak kongsikan bersama anda tentang penyakit FIP.

FIP atau nama panjangnya adalah Feline Infectious Peritonitis menurut buku di gambar bawah yang saya beli RM5 kat BigBadWolf dan juga melalui maklumat Wikipedia, ia adalah suatu penyakit akibat daripada virus yang menyerang di bahagian 'peritoneum' atau lapisan abdomen kucing yang mengakibatkan perut kucing membengkak tetapi badannya semakin kurus dan yang menyedihkan adalah buat masa ni, ia tak boleh diubati dan boleh membawa maut.



Sebelum mengetahui tentang wujudnya penyakit ini, saya ada terbaca satu post dalam FB saya, tentang kucing yang terkena sakit busung. Ya, memang kucing dalam post itu sangat besar perutnya tapi ia bukan mengandung. Nak dijadikan cerita, selang beberapa hari kemudian, ada seekor kucing dewasa yang saya tak tahu siapa tuannya datang berkongsi makanan dengan kucing-kucing yang saya pelihara di luar rumah. Kucing ini jantan. Pada mulanya memang dia aktif, sihat dan berselera saja bila makan.

Selang 2 minggu kemudian, saya rasa hairan sebab perut dia makin lama makin buncit. Saya tengok punggung dia. Eh? Jantan tapi kenapa perutnya buncit semacam tapi kalau diusap, boleh terasa tulang belakangnya. Terus saya teringat kes kucing dalam post FB tu. Ya Allah. Hati saya berdebar. Berdoa juga supaya jangan dia kena penyakit tu. Lagi pula dia kucing yang datang bila nak makan saja lepas tu pergi.

Satu pagi tu, saya tunggu dia datang macam biasa. Kali ni saya nekad nak 'kidnap' dia untuk bawa pergi klinik sebab dari pembacaan saya melalui Google, kalau betul dia kena FIP, makanan dan minuman dia boleh menjangkiti kucing lain. Saya tak boleh biarkan kucing lain terkena penyakit itu juga.

Nak dijadikan cerita, kucing itu disah oleh vet menghidapi FIP. Kesian. Jadi sekarang kucing tu ada saya tempatkan dalam sebuah sangkar besar yang selesa untuk dia menjalani sisa-sisa hidup dia dengan penyakit yang tak ada ubat dan boleh membawa maut itu. Ya, saya terpaksa kurung dia demi keselamatan kucing lain juga. Hari-hari saya cakap dengan kucing ni supaya dia faham. Dia tak banyak kerenah, tak mengamuk. Mungkin sebab dia pun tahu dia sakit.


Ini gambar kucing tu. Hari ni dah minggu ke-2 dia tinggal dalam sangkar. Perutnya memang tak sebesar dulu sebab doktor ada bagi pil untuk kurangkan air dalam perutnya tapi hari demi hari dia dah tak kuat makan macam mula-mula dia datang dulu. Dia dah lemah. Banyak kencing tapi tak buang air besar dah 3 hari.

Rasa sebak ketika menaip blog ni sebab saya tak dapat bantu pulihkan dia seperti saya bantu kucing-kucing yang saya pernah cerita dalam blog ni.

Kesimpulannya, kalau ada kucing-kucing yang anda jumpa, yang mana penyakitnya boleh menjangkiti kucing-kucing lain, saya merayu supaya rawatlah ia dan kurung kucing itu di tempat yang selesa demi keselamatan kucing-kucing lain di luar sana.

Bak kata Steve Cheetham, Chief Veterinary Officer RSPCA, "Owning a cat is great fun but a huge responsibility. All animals need a regular routine and lots of love and attention. But most importantly, pets need owner who are going to stay interested in them and committed to them all their lives."

Sekian. Sehingga berjumpa di lain post nanti.

Sunday, November 22, 2015

Ubat Kutu

Assalamualaikum & salam sejahtera kepada semua pencinta haiwan terutama sekali kucing.

Kali ini saya nak cerita tentang ubat kutu yang sebelum ni saya pun tak kisah nak bagi pada kucing-kucing saya pun sebab saya anggap ia sebagai perkara kecil sahaja.

Tetapi bak kata pepatah pun, sudah terhantuk, baru nak terngadah ataupun dengan erti kata lainnya, dah terkena baru nak percaya.

Baru-baru ni, kucing saya, Grey sakit. Dia tak selera makan, minum dan berat badan turun dengan banyaknya. Saya fikirkan ia sakit demam biasa atau sakit tua tapi Grey baru usia 6 tahun, doktor kata 7 tahun ke atas baru dikategorikan sebagai kucing tua.  Selepas dah habis ubat demam yang doktor bagi untuk makan 5 hari pun tak pulih seperti biasa.

Gambar Grey ketika sihat

Hari ke-6 saya bawa semula Grey jumpa doktor. Doktor periksa mata dan gusi Grey, dia kata Grey menghidapi sakit kuning. Memang kalau tengok pun jelas kuningnya pada mata, gusi dan kulitnya (lepas diselak doktor).

Saya tanya apakah puncanya? Doktor pun selak-selak bulu Grey di tempat yang berlainan. Kemudian dia kata, Grey ada kutu. Kutu tu bukan saja hisap darah Grey malahan memindahkan sejenis kuman ke dalam darah Grey dan akan merosakkan sel darah Grey. Sebab tu Grey sakit.

Jadi, sekarang ni Grey dalam proses pemulihan selepas diletak ubat kutu, dimasukkan air untuk mengurangkan dehidrasi, diberi makan sejenis ubat yang perlu diambil selama 20 hari bagi memulihkan darah Grey serta diberi minum Liv-52, ubat pemulih hati Grey.

Jika anda ada kucing, tanya pada doktor, berapa kerap anda boleh letakkan ubat anti kutu pada kucing anda. Ubat anti kutu mesti diberi mengikut nasihat doktor kerana kalau tak diberi dengan betul, ia boleh menyebabkan kucing anda keracunan.

Memelihara kucing adalah satu amanah dan tanggungjawab. Jangan pelihara kerana mengikut trend ataupun ketika kucing itu comel saja tetapi bila dah sakit dibuang merata-rata.

Sekian sampai di sini dan terima kasih kepada yang menyayangi haiwan anda sehinga akhir hayat mereka. Semoga Tuhan membalas jasa baik anda dan memurahkan rezeki anda. Aminn.

Tuesday, November 3, 2015

Terkini tentang penyakit kucing sporo

Assalamualaikum & salam sejahtera kepada semua pencinta kucing yang ingin membantu kucing-kucing mereka yang dijangkiti Sporo.

Memang ada yang kata blog saya ni dah lama sebab saya tak update tapi bagi yang perasan, saya ada update & membalas segala soalan anda diruang komen. Bagi komen yang tak berjaya keluar tu, saya tak pasti mengapa, sebab dah klik publish 2 kali pun tak terpapar di ruang komen.

Mengenai maklumat baru tentang ubat untuk Sporo. Terkini ada makmal ubatan yang telah menghasilkan ubat yang telah diuji bersesuaian bagi kegunaan haiwan seperti kucing & anjing. Ubat jenis cecair, senang diberi makan pada kucing atau anjing berbanding Sporonox, lagi pun Sporonox untuk kegunaan manusia sebenarnya.

Harganya memang nampak mahal sebab kena beli sebotol tapi percayalah cakap saya, kalau anda beli Sporonox untuk kegunaan sebulan pun, belum tentu sama harga dengan sebotol ubat itu sebab nak sembuhkan penyakit Sporo ni kadang-kala ambil masa lebih daripada sebulan.

Ye, memang Sporonox ada yang murah & ada yang mahal, ia dikategorikan dalam bentuk generic & non-generic, lebih kurang macam sama resipi tapi berbeza kualiti la. So, keberkesanannya terhadap haiwan anda juga berbeza.

Penyakit ni juga boleh berjangkit pada manusia, jadi kalau ada haiwan anda yang terjangkit, rawat ia segera dan kurungkan mereka dalam sangkar. Jaga kebersihan sangkar tu & kebersihan haiwan itu juga. Jika anda rasa kesian haiwan itu 'menangis' minta keluar, tak pe, anda bukan nak seksa mereka tapi anda nak rawat mereka & nak elakkan daripada ia berjangkit kepada anda. Sehari dua memang dia bising, nanti dah 5 hari dia faham.

Dan mohon jasa baik anda semua, jangan ambil tindakan untuk buang haiwan yang ada sporo ni sebagai jalan penyelesaian kerana takut ia berjangkit pada haiwan anda yang lain. Tindakan anda itu juga zalim, bukan saja pada haiwan itu, malahan pada haiwan lain di luar sana juga kerana tak pasal-pasal haiwan orang lain boleh terjangkit penyakit ni.

Lain-lain update tentang Sporo rasanya tak de. Jadi, anda boleh lagi gunakan informasi dalam artikel yang berkaitan dengan Sporo dalam blog ini. Saya juga ada sertakan nombor telefon doktor haiwan yang banyak membantu saya dalam merawat Sporo ini. Boleh cari di ruang komen di artikel sebelum2 ni. Tak nak tulis di sini sebab doktor pesan, tak mau artikel ni bersifat seperti mengiklankan dia pula. Hihihi.

Ok lah. Sampai di sini saja. Saya doa haiwan kesayangan anda semua bebas Sporo & jangan tangguh-tangguh rawat penyakit ini kerana ia antara penyakit yang sangat serius.