Monday, September 10, 2012

Penyakit sporo kucing

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Selamat hari raya dan maaf zahir batin kepada semua pembaca. Macam mana dengan berat badan anda semua? Apa? Naik 2-3kg? Hohoho.... Jangan bimbang. Saya juga begitu. :) Nanti kita bersenam seminggu 3 kali, sejam setiap sesi dan jaga pemakanan kita, insyaAllah berat kita akan kembali normal.

Okey. Tajuk blog kali ini adalah penyakit sporo kucing. Nama panjangnya ialah sporotrichosis. Kalau rujuk kepada google search, ia bermaksud, penyakit kulit yang lambat sembuh akibat daripada jangkitan kulat. Haa..., jangan sangka ia hanya menjangkiti kucing sahaja tau, manusia juga pun boleh dijangkiti juga.

Di bawah ini saya letakkan gambar penyakit ini terkena pada kucing dan manusia yang saya ambil dari google search.


Sejak kebelakangan ini, saya sering berurusan dengan kucing yang dijangkiti penyakit ini. Setakat ini dah 4 ekor. Dua ekor sudah sihat, alhamdulillah. Dua ekor lagi sedang dirawat. Macam mana kita nak tahu penyakit yang menjangkiti kucing kita adalah sporo?

  1. Pertama, luka kucing tu lambat baik, maksudnya, walaupun sudah diberi pil antibiotik dan disapu dengan minyak gamat atau povidon pun ia masih basah lagi selepas 4-5 hari. Oleh kerana ia bukan disebabkan oleh virus, maka pemberian antibiotik memang tidak berkesan. Ia juga tidak boleh dihalang dengan suntikan vaksin.
  2. Kedua, kalau ia menjangkiti dalam bentuk selsema pada kucing, kucing akan bersin keluar darah dan atas hidungnya membengkak.
Apa-apa pun, kita sebagai pemilik kucing jangan panik. Luka ini memang boleh berjangkit pada manusia tetapi jika kita rawat kucing kita dengan menggunakan sarung tangan pakai-buang, mengasingkan kucing itu di dalam sangkar yang berlainan dan menjaga kebersihan kucing & kita dengan baik, insyaAllah, ia tidak mudah berjangkit.

Ada sesetengah doktor haiwan akan menasihati agar kucing itu diberi suntikan mati sahaja tetapi kita sebagai manusia jangan ambil keputusan terburu-buru. Kita dapatkan dulu beberapa pendapat doktor haiwan yang lain. Penyakit ini bukan tidak boleh diubati tetapi ia mengambil masa yang lama untuk diubati serta kesabaran yang tinggi dalam menguruskannya.

Di sini saya sertakan pengalaman saya dalam mengubati kucing yang menghidapi sakit sporo. 

  1. Tahun pertama merawat kucing sporo - Kucing pertama (Kembang) saya dijangkiti di perutnya. Luka sebesar duit syiling lima sen. Macam mangkuk bentuk lukanya. Selepas diberi makan antibiotik selama 5 hari, luka masih basah. Doktor haiwan menyuruh saya mengasingkan ia ke dalam sangkar dan pakaikan kolar. Kemudian doktor minta saya beli ubat bernama 'sporanox' di farmasi. Ubat ini adalah ubat bagi manusia maka atas nasihat beliau, ia perlu diberi makan sebanyak 1/2 dos kepada kucing saya, 1 hari sekali selama 10 sehingga 21 hari. Luka itu pula dicuci dengan air suam sehari sekali dan diletak povidon. Selain daripada itu, berikan multi vitamin yang dipanggil Hi-Vit atau Liv 52 khas untuk haiwan kepada Kembang bagi menguatkan fungsi hati kucing. Alhamdulillah, lukanya sembuh, sihat dan gemuk.
  2. Beberapa bulan selepas itu, kucing kedua pula (Grey) bersin sehingga berdarah dan ada macam jerawat atas hidungnya. Seperti kes di atas, antibiotik yang diberi tidak membantu. Oleh kerana jangkitannya berlaku di dalam hidung, maka ia mengambil masa yang lama daripada kucing di atas. Selepas 21 hari, bengkak seperti jerawat masih belum menyusut walaupun selsemanya agak berkurangan. Doktor haiwan minta saya berhentikan pemberian 'sporonox' kepada Grey selama 7 hari. Sepanjang 7 hari itu, saya diminta memberi Grey multi vitamin sahaja. Hari ke-8, doktor minta saya sambung semula pengubatan dengan dos 1/2 selama 21 hari bersama multi vitamin. Alhamdulillah, Grey sudah sihat sekarang.
  3. Tahun ini, saya berurusan dengan 2 ekor kucing yang datang ke rumah saya. Seekor, jangkitan sporonya kronik. Hidungnya bengkak seperti mahu keluar tanduk badak sumbu, 2 tapak kakinya membengkak, berdarah + nanah di bahagian 'paw' dan ada luka sebesar lima sen dekat dengan ekor dan atas telinganya. Seekor lagi hanya 1 luka sebesar lima sen di kakinya. Kucing yang kronik itu saya namakan Hitam dan yang seekor lagi namanya Manis. Setakat ini Hitam telah dirawat selama 33 hari termasuk rehat selama 7 hari daripada ubat sporanox. Dosnya doktor nasihatkan menjadi 1 kapsul kerana tiada perubahan terhadap rawatan 1/2 kapsul. Alhamdulillah, luka-lukanya yang besar beransur kecut, luka yang kecil sudah mengering dan 'tanduk badak sumbu' pun sudah tidak membengkak lagi. Manis yang baru dirawat selama 8 hari dengan 1/2 dos masih belum ok lagi. Tadi selepas mendapatkan nasihat doktor haiwan, beliau meminta saya memberi Manis sporanox sebanyak 1 dos dan multi vitamin juga. Diharap, Manis juga akan sembuh agar saya boleh keluarkan mereka dari sangkar untuk bebas seperti kucing-kucing yang lain juga. :)
Begitulah perkongsian saya tentang penyakit bahaya yang amat 'famous' pada kucing sejak kebelakangan ini. Terdapat 2 jenis kapsul 'sporanox' iaitu yang original dan yang bukan original. Harap anda dapat berikan yang original (biasanya mahal sedikit RM9-10 sebiji, daripada yang tidak original RM5 sebiji) kerana yang original lebih berkesan. 

Apa-apa pun, bawa dahulu kucing-kucing itu ke klinik haiwan bagi mendapatkan nasihat doktor kerana dos ubat sporanox ini perlu diberi mengikut berat badan kucing tersebut. Kalau tersalah dos, khuatir kucing boleh mati. Haru.

Harap bersabar ketika mengubati kucing-kucing ini dan jaga kebersihan ketika merawat kucing itu. Jangan terburu-buru mengambil keputusan untuk memberi suntikan mati terhadap kucing itu. InsyaAllah, Tuhan akan mempermudahkan urusan kita dan memurahkan rezeki kita dan kucing tersebut.

Sekian. Sayangilah haiwan dan segala ciptaan Tuhan agar anda juga akan disayangi. :)