Sunday, April 3, 2011

Gigi oh gigi

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Wah! Sudah lama saya tak menulis di dalam blog ini. Sibuk dengan pelbagai perkaralah katakan, huhu. Sibuk dengan kucing sakit, diri sendiri sakit, menulis dan lain-lain lagi.

Tentang kucing saya yang sakit kaki (cerita dalam blog sebelum ini), kakinya alhamdulillah sudah bercantum lukanya walaupun ia memang mengambil masa yang lama mahu mengubatinya. Kucing liar yang suka datang minta makan di rumah saya, oleh itu kurang mesra bila mahu diubati. Saya mahu ambil gambar kakinya yang sudah baik pun, dia tak beri tapi menurut kata doktor haiwan, ia tidak banyak ragam dengannya pula kerana mungkin ia tahu doktor itu mahu mengubatinya. Apa yang penting, lukanya sudah sembuh. Alhamdulillah.

Kali ini saya mahu bercerita tentang gigi. Rabu lepas saya pergi klinik gigi kerana terasa seperti ada gigi saya yang sakit apabila saya minum air sejuk. Lagi pun sudah dua tahun saya tidak ke sana. Hahaha, teruk betul, bukan? Sepatutnya kita perlu berjumpa doktor gigi setahun 2 kali agar gigi kita sihat dan tidak perlu pakai gigi palsu pada usia muda. Iyalah, sakit gigi bukan perkara yang boleh dibuat main-main. Bila sudah sakit, makan pun tak boleh, kepala sakit malahan seluruh tubuh sakit tetapi dalam banyak-banyak doktor sebenarnya, doktor gigilah yang ramai orang takut untuk berjumpa.


Bukan setakat kanak-kanak sahaja yang takut jumpa doktor gigi malahan ada juga orang dewasa yang takut berjumpa dengannya. Saya? Bergantung kepada situasi. Biasanya cuci gigi atau tampal gigi lebih sakit daripada cabut ggi pada pendapat saya kerana cuci dan tampal gigi lebih ngilu seluruh badan berbanding cabut gigi.

Walau bagaimanapun, doktor gigi pesan, jangan tunggu sampai gigi terasa sakit baru mahu jumpa doktor gigi kerana ketika itu, gigi sudah berada di dalam peringkat yang parah dan tidak boleh ditampal-tampal lagi maka hukuman cabut perlu dikenakan ke atas gigi yang tidak bersalah itu. Heheh. Ia adalah suatu yang membazir kerana bila dah dicabut, kita sudah tiada gigi lagi memandangkan manusia hanya ada 2 set gigi sahaja. Pakai gigi palsu, bukan sahaja tidak selesa malahan kos pembuatannya pula mahal.

Oleh itu, ikutilah pesan doktor gigi, "Sayangi gigi anda kerana ia hanyalah milik anda sekali seumur hidup. Berus gigi dengan cara yang betul dan jangan lupa guna flos gigi."