Thursday, February 24, 2011

Kucing sakit

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Kucing oh kucing. Sebenarnya, rumah kami tiada kucing rasmi, kebanyakkannya adalah kucing-kucing pendatang yang tumpang makan, lepas kenyang, mereka pergi ke mana-mana yang mereka suka pula. Saya pun beri mereka makanan yang dibeli secara borong 15kg sebulan di sebuah kedai borong makanan kucing di Shah Alam. Banyak juga saya dapat kurang harganya berbanding jika beli di kedai-kedai yang lain.

Walaupun kucing-kucing itu datang ikut suka mereka sahaja tetapi mereka ada nama. Haha, mudah saya nak memanggilnya apabila mereka berkerumun minta makan. Kucing memang haiwan yang di dalam kategori yang tidak setia jika dibandingkan dengan anjing (menurut kajian, saya tak bela anjing pun) kerana ia akan sayang pada sesiapa sahaja yang rajin memberi ia makan.

Tetapi yang membuat saya terkilan sedikit adalah apabila orang hanya suka membela kucing apabila kucing itu cantik, bersih dan sihat sahaja. Pantang nampak kucing macam ini, mesti tak lama, ia akan lesap entah ke mana namun bila kucing itu sakit, berkurap, kotor..., siapa pun tak ambil peduli. Kesian haiwan yang bernama kucing sakit ini.

Siang tadi saya pergi hantar seekor kucing yang kami namakan Anjang Kuning ke klinik haiwan. Masalahnya besar dan mengerikan. Anjang seekor kucing jantan dewasa. Empat hari lalu ia datang minta makan dengan kaki yang terdengkot-dengkot. Pada mulanya saya lihat lukanya sebesar belakang batang pensil sahaja. Saya pun letaklah ubat sapu yang biasa Dr. Punita (veterinarian/doktor haiwan)  untuk luka dengan harapan ia akansembuh.

Empat hari selepas tu, ia datang kembali ke rumah saya. Kakinya sudah sangat bengkak dan 2 kali ganda besar daripada biasa. Jalannya juga dah terlompat-lompat. Nanah menitik-nitik dari kakinya. Saya sabar dan siram ubat sapu yang sama. Hari ini saya tak sanggup lagi tengok lukanya yang tiada sebarang tanda mahu pulih. Bawah ini gambar kakinya yang luka kronik itu. Saya rakamkan dengan handphone sebelum ke klinik.




Saya pun masukkan Anjang dalam bakul plastik dan bawa ke klinik haiwan. Uish! Susah mahu masukkan seekor kucing liar ke dalam bakul. Syukurlah bila dalam kereta, ia diam sahaja. Sampai di klinik, Dr. Punita kata luka dia dah teruk dan ada ulat berenga atau maggot dalam bahasa inggeris. Ulat ini terhasil dari telur lalat .

Saya tanya pada doktor, "Mana? Tak de pun ulat itu doktor?"

Tidak lama selepas tu, ulat pun menguit-nguit keluar dari bawah kulit Anjang. Adus! Macam dengar pula ulat tu dan ia u-turn semula masuk ke bawah kulit Anjang. Saya tanya pada doktor, "Oh! Ada seekor saja doktor."

"No....there's plenty of them under the skin. Sebab itulah kaki dia bengkak. Selain daripada ia bernanah, ia juga ada ulat," jawab doktor tanpa rasa geli. Arghhh! Mengerikan! Doktor kata keadaannya menjadi teruk dengan cepat kerana ia kucing liar yang makan apa sahaja yang orang buang.

Tiba-tiba Anjang berasa tidak selesa dan mula meronta-ronta. Habis separuh dari bilik rawatan dipenuhi dengan darah dari kaki Anjang. Saya, doktor dan pembantu doktor juga panik menangkap Anjang yang melompat-lompat dengan darah yang meleleh banyak.

Akhirnya, bila Anjang sudah kepenatan, ia tenang dan dimasukkan ke dalam sangkar yang doktor sediakan. Ia dipakaikan kolar khas agar Anjang tak dapat jilat luka yang akan dirawat doktor.

Hari ini adalah hari ke-3 Anjang berada di klinik haiwan. Pagi tadi saya telefon doktor untuk mengetahui keadaan Anjang. Doktor memberitahu, Anjang dah semakin tenang dan mudah dirawat. Luka ia juga beransur pulih. Ulat-ulat juga dah dibuang. Syukur alhamdulillah.

Esok Anjang sudah boleh dibawa balik namun saya perlu masukkan ia ke dalam sangkar agar lukanya boleh dirawat sehingga ia benar-benar pulih untuk dilepaskan ke dunia luar seperti kucing-kucing lain. Nanti saya akan masukkan lagi gambar-gambar kaki Anjang dari masa ke semasa.

Sekian untuk hari ini. Wassalam.

Thursday, February 17, 2011

Alamak! Lupa lagi!

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,

Alamak! Lupa lagi! Hahaha! Ini sebenarnya antara ayat klise yang sering disebut oleh pelbagai bangsa dan usia zaman sekarang. Ayat escapisme dan alasan agaknya.

gambar sumber dari : mabels.org.uk

Kalau dahulu, orang yang kuat pelupa adalah orang-orang yang sudah tua sahaja tetapi sekarang tidak lagi. Kurang pasti sama ada ia pengaruhdaripada cara pemakanan atau gaya hidup atau amalan seharian. Saya pun kadang-kala menggunakannya bila benar-benar terlupa. Nama pun 'terlupa' bermaksud tidak sengaja lupa. :) Hahaha. Nazmi dalam rancangan raja lawak juga suka gunakannya sebagai isi lawaknya dan cara dia menghilangkan rasa gubranya.


Tapi bahaya  kalau kita selalu amalkan kata-kata ini dengan sengaja. Maklumlah, kata-kata itu doa. Pelupa ini penyakit yang merbahaya dan antara penyebab awal nyanyuk. Oleh itu, antara cara bagi mengurangkan lupa adalah dengan :


  1. Merancang tugasan harian
  2. Mencatat pesanan yang disampaikan (bak kata pepatah Inggeris, when you write, you'll remember)
  3. Memperbanyakkan membaca Al-Quran dan memahami maksudnya
  4. Berzikir dan berdoa agar dikuatkan daya ingatan.
Akhir kalam, jangan menjadi pelupa sebelum usianya dan jangan jadikan lupa sebagai alasan bila kita berjanji dengan orang lain. Khuatir orang lain tidak akan mempercayai kejujuran kata-kata kita di lain waktu dan khuatir juga kita menjadi orang yang mungkir janji akibat tabiat lupa kita.

Seperti maksud ayat ke-10 dari Surah Al-Fath, 'Sesungguhnya orang yang berjanji setia kepadamu, bererti berjanji setia kepada Allah. Kekuasaan Allah mengalahkan kekuatan mereka. Sesiapa yang melanggar janji, bererti melanggar janji sendiri. Sesiapa yang setia kepada janji Allah, maka Dia akan mengurniakannya pahala yang melimpah.'

Sekian sahaja. Yang baik dari Allah, yang buruk dari kekurangan saya sendiri. Insya-Allah, panjang umur kita berjumpa lagi.

Wassalam.




Saturday, February 5, 2011

Tik-tok, tik-tok

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Apa khabar? Wah! Sudah lama saya tidak menulis dalam blog ini. Sebabnya, tak cukup masa. Hihi! :) Betulkah tak cukup masa? Saya selalu dengar perkataan ni sejak saya kecil lagi tetapi semua orang dikurniakan 24 jam sehari. Jadi, bagaimana boleh tak cukup lagi, ye?


Imej dari bluebuddies.com

Bercakap tentang masa, saya bukanlah orang yang hebat dalam menguruskan masa. Kadang-kala 'terkucil' juga. Namun, apa yang saya dapati daripada pengalaman dan pemerhatian saya, kalau kita ikut dan patuh dengan jadual waktu atau senarai kerja yang kita buat dengan betul, insya-Allah tiada isu masa yang tak cukup.

Cuba kita ingat semula, sejak kita tadika atau sekolah rendah lagi, cikgu bagi kita jadual waktu untuk kita buat persediaan pelajaran hari-hari, lepas tu dia ajar pula kita ikut 'duty rooster' sebagai jadual untuk membersih bilik darjah.

Kalau kita lihat dalam kehidupan seharian pula, semuanya dilakukan mengikut jadual waktu. Contohnya, waktu sekolah, waktu bekerja, waktu siaran tv, waktu penerbangan dan lain-lain lagi.

Lagi satu, jangan terlupa pula, agama Islam sendiri mengajar kita mementingkan masa melalui Surah Al-Asr yang berceritakan tentang masa. Orang Islam juga ada jadual solat yang ditentukan mengikut masa, tak kiralah solat wajib atau solat sunat, semua ada waktu yang spesifik bagi kita mengerjakannya. Puasa ramadhan di bulan ramadhan, puasa sunat dan puasa ganti, pergi haji di musim haji dan lain-lain lagi. Tidak boleh semberono sahaja.

Kalau kita lihat pada haiwan pula, mereka juga ada jadual waktunya sendiri. Waktu makan, waktu tidur, musim mengawan dan lain-lain.

Tumbuhan juga begitu. Contohnya, pokok nenas dan pokok durian, kedua-duanya adalah pokok buah-buahan namun masa bagi keduanya berbuah adalah berlainan. Nenas selepas 6 bulan ditanam manakala durian selepas 10 tahun ditanam.

Cuaca juga berubah mengikut waktu yang Tuhan tetapkan. Laut pasang, laut surut, semua ada waktu. Begitu juga dengan pusingan planet di galaksi bima saktinya.

Oleh itu, kita sebagai manusia mesti ada jadual waktu bagi mendisplinkan diri sendiri. Memanglah kalau kita langgar jadual waktu yang kita buat itu, tiada siapa yang akan marah sebab ia adalah jadual yang kita buat sendiri bagi menyusun waktu kita, bukan yang majikan berikan atau cikgu atau ibubapa berikan.

Namun, tak rugi patuhi jadual waktu yang kita buat itu. Ia menjadikan kita lebih berdisplin dan kerja pun banyak dapat dibereskan mengikut masa yang kita rancang.

Akhir sekali, jangan tinggalkan perkara yang wajib seperti solat 5 waktu walau sibuk macam mana sekali pun kita dengan tugasan seharian kerana orang yang menjaga perkara-perkara yang wajib di kala kesibukan adalah orang yang hebat. Mantapkan juga tahap kesihatan agar minda cerdas dan badan sihat.

Sekian sahaja. Assalamualaikum dan ceria-ceria selalu.