Monday, December 30, 2013

Lagi tentang kucing sporo

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Alhamdulillah, artikel saya berkenaan kucing sporo mendapat sambutan. Harap para pembaca dapat manfaat dan dapat membantu dalam proses memulihkan haiwan kesayangan para pembaca. Saya doakan usaha anda semua dipermudahkan dan dimurahkan rezeki kerana sudi membantu haiwan ciptaan Tuhan itu.

Tahniah dan alhamdulillah kepada para pembaca yang kucing sporonya dah sihat. Suka saya mendengar respon positif anda. Kepada kucing yang tak dapat diselamatkan, takziah saya ucapkan. Saya yakin, anda dah melakukan yang terbaik buat kucing anda.

Untuk makluman para pembaca, saya bukan doktor haiwan. Apa saja maklumat yang saya tulis dalam blog ini tentang kucing adalah perkongsian saya atas nasihat doktor haiwan. Jenis ubat, dos & cara rawatan semuanya berdasarkan nasihat doktor.

Antara sebab luka kucing sporo tak berjaya diubati atau ia akhirnya mati walaupun sudah dirawat seperti yang dinasihatkan oleh doktor adalah :


  • dos yang tak sesuai mengikut berat badan
  • penyakit sporo itu sudah menjangkiti ke organ dalaman kucing sehingga menyebabkan organ seperti buah pinggangnya rosak
  • terlalu banyak ubat yang diberi kepada kucing sporo itu. Mengikut pengalaman saya, memadai dua jenis ubat saja - sporonox (original) dan multivitamin ATAU intrafungol (ubat cecair, sila rujuk blog soal jawab kucing sporo) dan multivitamin. Tak letak ubat sapu pun tak pe.
  • terlalu banyak antibiotik diberikan kepada kucing sporo. Untuk makluman pembaca, antibiotik tak berkesan pada kucing sporo malah ia akan menyebabkan kucing sporo tak dapat melawan penyakit selain daripada sporo pula.
  • pemilik kucing sporo tak mau bawa kucing mereka berjumpa doktor haiwan. 
  • kucing tak diasingkan dalam sangkar khas, dibiarkan merayap walaupun belum sihat lagi.
  • pemilik tak cukup sabar merawat kucing sporo, terus tukar ubat lain tanpa nasihat doktor.


Mohon para pembaca ambil masa untuk baca artikel tentang sporo dalam blog saya ini sampai ke bahagian komen kerana ada soalan yang berulang-ulang disoal oleh para pembaca. Mungkin mereka terlepas pandang atau terlalu nak cepat sangat dapat jawapan, saya pun tak tahu.

Jawapan yang terbaik adalah dengan membawa terus kucing sporo anda kepada doktor haiwan. Mereka lebih pakar.

Di bawah ini, saya kongsikan lagi gambar kucing saya yang dah sembuh sakit sporo. Nama ia Kecik. Asalnya satu kuku kaki Kecik tercabut, saya pun tak tau macam mana ia boleh tercabut. Lukanya menjadi nanah kemudian berulat. Setelah dirawat, doktor dapati luka itu tak sembuh dalam tempoh seminggu. Luka kalau tak de jangkitan lain-lain, boleh mengering dalam tempoh seminggu. Kecik disahkan sakit sporo pada luka itu dan ia merebak ke bahagian 'paw' atau tapak kakinya.

Mengikut pengalaman saya, bahagian paw & hidung adalah tempat yang paling lambat sembuh bila dijangkiti sporo. Mulanya, saya rawat Kecik dengan Intrafungol (ubat sporo jenis cecair, dibeli dari doktor haiwan) bersama Hi-Vit (multivitamin). Proses penyembuhannya sangat lambat. Lebih dua bulan tapi hanya kecut saja, tak kering.

Gambar pada 29/9/2013. Selepas dua bulan rawatan. Walaupun beransur pulih tapi 'paw' belum kering betul dan mudah terluka.
Kecik dah mula bosan kena kuarantin dalam sangkar. Musim mengawan pun tiba. Kecik jantan. Mula-mula Kecik akur bila makan ubat tapi sebab dah dua bulan, Kecik mula buat hal. Tiga kali saya digigit Kecik. Alhamdulillah, saya tak pula dijangkiti kuman sporo.

Tip tambahan, kalau kena gigit/cakar kucing (tak kira ia ada penyakit atau tak), cepat-cepat lalukan air yang banyak pada luka itu sampai darah berhenti. Kemudian sapu ubat luka atau yang terbaik, pergi klinik manusia supaya luka gigitan/cakar itu tak melarat.

Saya hentikan rawatan ubat intrafungol dan mulakan pula rawatan guna ubat Sporonox (original) sebiji bersama Hi-Vit. Alhamdulillah, banyak perubahan berlaku pada lukanya. Walaupun mengambil masa sebulan juga, tapi saya rasa lega sangat sebab tak lama lagi, Kecik boleh dikeluarkan dari sangkar.

Gambar pada 26/12/2013. Lambat sikit saya rakam gambar ni sebab lepas saya lepaskan Kecik dari sangkar, dia merayap & sukar ditangkap. Kuku pun dah tumbuh normal dan 'paw' pun sihat. Alhamdulillah.
Kecik dah sihat & hensem. 
Haiwan juga seperti manusia, ada yang sesuai dan mudah sembuh dengan ubat tertentu, ada yang lambat. Yang penting, dapatkan dulu nasihat dan pandang doktor haiwan sebelum menukar kepada ubat yang lain. Jangan ambil risiko walaupun haiwan tak boleh bercakap, tapi mereka juga tahu erti kesakitan dan penderitaan.

Ini saja perkongsian saya tentang sporo. Saya berharap supaya penyakit ini tak dipandang remeh kerana ia boleh merebak melalui tanah atau haiwan yang sudah sedia ada kuman ini. Saya juga berdoa agar semua haiwan yang dijangkiti penyakit ini segera sembuh. Aminn.

Sekian. Salah & silap dalam penulisan, harap dimaafkan.