Saturday, January 21, 2012

Suka makan tetapi tak suka gemuk

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Hari ini saya mahu cerita sedikit tentang topik bersenam. Apa? Bersenam? Jeng jejengggg.... Boringlah topik ini :P

Eh, chop, chop, chop. Sebenarnya bersenam memang tidak seronok... seronok lagi makan, rehat-rehat, tidur tetapi apabila sudah gemuk, tak sihat... itu lagi 10 kali tidak seronok, bukan? Betulll... apabila berat badan kita bertambah, kita akan jadi tidak cergas, mudah penat dan kelihatan lebih tua daripada usia sebenar. Menakutkan, bukan?

Oleh itu, bagaimana mahu makan tetapi dalam masa yang sama tidak bertambah berat badan? Menurut maklumat yang saya perolehi daripada Kementrian Kesihatan Malaysia, kita perlu target 10 ribu langkah sehari. Apa??? 10 ribu langkah? Jeng jejeng....

Mengapa perlu target 10 ribu langkah sehari? Sebab... 10 ribu langkah bersamaan dengan 7-8 km perjalanan dan ia boleh mengurangkan anggaran sebanyak 64g lemak sehari iaitu bersamaan dengan 100 minit atau 1 jam 40 minit berjalan kaki tetapi ini berjalan kaki laju-laju ye, bukan jalan kaki lenggang mak limah, huhuhu.

Jangan berjalan kaki terus-menerus selama 100 minit pula. Kita buat sedikit-sedikit dahulu, 50 minit pagi, 50 minit petang. Mula-mula memanglah terasa seperti mahu putus nyawa tetapi lama-kelamaan okey sahaja. Makan pun perlu jaga, jangan pula selepas bersenam, kita 'balas dendam' dengan makan 3 keping roti canai dan 2 cawan teh tarik pula, huhuhu. Tak de maknalah senaman kita itu nanti. :)

Gambar dari - myjumpropeworkout.com


Jadi, bersenamlah hari-hari untuk kebaikan diri sendiri. Apabila kita sihat, kita dapat beribadah dengan lebih baik dan berkualiti. Bukankah kita selalu bermohon agar Tuhan kurniakan kita kesihatan baik tetapi berdoa sahaja tidak dapat menjadikan kita sihat jika tidak diikuti dengan usaha seperti bersenam dan menjaga pemakanan yang baik. Untuk maklumat lanjut, dalam novel saya 'Fatimah Fatty' ada banyak tip mengawal berat badan yang mudah dan berkesan.

Sekian. Sehingga berjumpa di lain tajuk pula.

Saturday, January 14, 2012

Melawat negeri Kak Limah

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Uiii.... Lama betul saya tak menulis di dalam blog ini. Kalau ada labah-labah, mesti sudah bersawang blog ini dihias oleh sang 'spider' itu. Kui,kui,kui.

Hmm.... Ingat lagi tak pada filem popular lagi kelakar yang bertajuk, 'Hantu Kak Limah Balik Kampung'? Haaa.... Bulan lepas saya pergi melawat kampung Kak Limah iaitu Negeri Perak Darul Ridzuan. Maksud saya, bukanlah untuk berjumpa dengan Kak Limah tetapi bagi menemani ibu saya jalan-jalan sambil makan durian di sana.

Bagi sesiapa yang gemar makan durian, raja segala buah-buahan ini, elok sangatlah kalau dapat ke Perak kerana di sini orang jual durian sangat murah berbanding di Selangor atau Kuala Lumpur. Harga yang dikenakan bukan berdasar pada berat buah tetapi berdasar kepada harga sebiji buah sahaja iaitu dalam anggaran RM4 hingga RM6 sahaja sebiji. Tambahan pula ianya adalah dari jenis durian kampung, bukan 'durian kahwin' atau 'durian kacukan' seperti yang biasa orang panggil dengan nama D24, musang king dan sebagainya tetapi gerai-gerai durian ini hanya dapat dijumpai jika kita melalui jalan lama Perak. Ini tiada kena-mengena dengan filem 'Misteri Jalan Lama', ya. Huhuhu.

Ibu dan abang saya yang 'hantu durian' tidak sempat-sempat tunggu balik rumah. Mereka terus makan di gerai itu sahaja. Saya yang biasa-biasa sahaja dengan durian ini hanya menjadi perakam imej durian. Sambil menunggu ahli keluarga saya makan, saya berborak dengan pakcik penjual durian itu. Kalau dengar cara pakcik durian itu cakap, teringat saya pada Usop Wilcha. Pekat telor bahasa Peraknya pakcik ni.

Saya tanya pada pakcik durian ini, apa beza durian kampung dengan durian kacukan? Dia kata, rasanya lebih sedap. Pokoknya pula tahan sehingga melebihi 70 tahun tetapi mahu tunggu buah pertama mula berbuah ambil masa 10 tahun ke atas. Namun begitu saiz buahnya tidak menyusut walaupun pokoknya semakin tua manakala pokok durian kacukan ini memang menghasilkan buah dalam masa 4 tahun ke atas tetapi usianya tidak panjang dan saiz buahnya semakin mengecil apabila pokok semakin tua. Rasanya pula bergantung kepada jenis kacukannya.

Okey, selepas makan durian kami pergi lawat Istana Kellie atau Kellie's Castle yang terletak di Batu Gajah, Perak. Ala... tempat pengambaran drama Nilapura itu berlangsung. Sebelum masuk ke tempat lawatan, kami disambut oleh si comel ini (bukan kucing Izzah Ombak Rindu ye) di kaunter bayaran. Macam bosan sahaja dengan tugas sebagai penjaga kaunter. Huhuhu.
 
Kalau mahu tahu lebih lanjut tentang istana ini, bolehlah baca di pautan ini http://www.explore-ipoh.com/kellies-castle.html. Kisahnya sangat menarik. Saya juga kagum dengan hasil pembinaan istana yang berusia 100 tahun ini walaupun ianya tidak sempat disiapkan sepenunya. Kalau difikirkan 100 tahun dahulu, rumah ini memang suatu binaan yang canggih memandangkan teknologi yang amat terhad ketika itu.


Semasa istana ini dibina, pemiliknya tinggal di sebuah rumah di bahagian belakangnya seperti gambar di bawah ini namun ada bahagian yang sudah runtuh akibat serangan tentera di Tanah Melayu dahulu.


Minta maaf kerana gambar-gambar saya ini agak kebiruan kerana saya terlupa mahu membetulkan setting white balance kamera saya. :)

Sebelum pulang (lawatan balik hari sahaja), kami melawat pula di Menara Condong Teluk Intan. Mahu melawat Menara Condong Pisa, Itali, belum cukup duit lagi. Huhuhu. Bolehlah baca pautan ini http://menara-condong.blogspot.com/ untuk mengetahui lebih lanjut tentang menara condong ini.


Sambil memandu pulang, kami hidangkan telinga kami dengan cd ceramah Ustaz Kazim, ustaz popular yang juga dari Perak sebagai penghilang mengantuk dan rawatan rohani. :)

Bak kata pepatah, jauh perjalanan, luas pemandangan. Semoga bertambah juga ilmu pengetahuan dan keimanan hendaknya. Amin.

Okey. Nanti saya cerita lagi tentang lawatan saya ke tempat lain pula. Kita mulakan dengan Semenanjung Malaysia dahulu. Assalamualaikum dan tatatititutuuuuu.