Thursday, September 22, 2011

Nak atau perlu?

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Amboi, amboi, amboi. Bukan main lagi saya bercuti sakan menulis blog ini sejak dari bulan puasa sehingga sekarang baru mahu sedar diri. Hahaha. Bikin riuh sedikit dalam blog ini.

Malam semalam saya sempat menonton rancangan Semanis Kurma. (Aaa... semput) Tiba-tiba sahaja teringatkan lawak dari Kumpulan Sepah setiap kali menonton Semanis Kurma. Tajuk yang dibincangkan semalam adalah 'Bahana Bakhil' dan artis jemputannya pula adalah penyanyi Nora bersama suaminya.

Apa yang menarik minat saya adalah tajuk itu sendiri kerana ramai orang masih lagi tidak tahu membezakan antara jimat dan kedekut. Ustazah Bahiyah ada menyebut bahawa dugaan bagi umat Nabi Muhammad adalah harta kerana biasanya orang yang berharta mudah lupa Tuhan. Oleh itu, bersedekah dapat membuang sifat bakhil dalam diri kita. Bersedekah tidak semestinya dengan wang ringgit sahaja, kita boleh bersedekah tenaga, ilmu dan macam-macam lagi.

Penyanyi Nora ditanya oleh Ustazah Bahiyah, "Bagaimana cara Nora mengawal perbelanjaan agar tidak boros?"

Saya suka dengan jawapan beliau. Dia berkata, "Setiap kali saya atau ahli keluarganya mahu membeli sesuatu barang, saya akan bertanya, adakah barang ini PERLU dibeli atau MAHU dibeli? Contohnya, kalau kita MAHU beli pensel, kita akan beli lebih daripada sebatang tetapi jika kita beli kerana PERLU, ia memadai hanya sebatang sahaja."

Bijak bukan perkongsian ilmu beliau. Pada pendapat saya, cara ini lebih praktikal bagi mengawal nafsu membeli-belah kita. Ingat, membazir itu sifat syaitan. Kita perlu bijak mengaplikasikan sifat jimat itu. Bersedekah juga perlu pada saluran yang betul. Salah bersedekah boleh menggalakkan peningkatan populasi peminta sedekah.

Sekian. Tata, titi, tutu :)